Semak tawaran kerja, elak terjerat jadi 'keldai' dadah

Zulkifli menunjukkan rampasan dadah yang dibuat susulan penahanan keldai dadah warga tempatan.
A
A

SEPANG - Tanpa membuat semakan dan terus percaya bulat-bulat dengan tawaran gaji lumayan di media sosial rupanya menjadi titik hitam rakyat tempatan terjerat sebagai 'keldai' dadah.

Mereka ini dipercayai ditawarkan untuk bekerja menghantar barang selain impian melancong ke luar negara tercapai.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, seramai 16 warga tempatan termasuk dua wanita ditahan di KLIA dan KLIA2, pada tahun lalu.

Menurutnya, kesemua mereka berumur lingkungan 18 hingga 40-an ini ditahan ketika cuba menyeludup keluar dadah ke luar negara.

"Keseluruhan rampasan dadah yang dirampas seberat kira-kira 30.8 kilogram yang dianggar bernilai jutaan ringgit.

"Berdasarkan taktik penyeludupan, dadah ini akan diikat di bahagian anggota badan suspek seperti di kaki, perut dan badan dengan begitu mampat bagi mengelak daripada mudah dikesan pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati, dadah jenis syabu ini kebanyakannya akan diseludup ke negara Taiwan, Korea dan Jepun.

Antara keldai dadah yang ditahan di KLIA dan KLIA2, pada tahun lalu.
Antara keldai dadah yang ditahan di KLIA dan KLIA2, pada tahun lalu.

Menjelaskan bagagaimana suspek terjebak sebagai 'keldai' dadah, beliau berkata, sindiket akan menawarkan tawaran kerja dengan gaji lumayan sehingga mencecah RM10,000 selain tawaran melancong di media sosial Facebook dan Wechat.

"Mereka yang terpedaya akan dibawa oleh ahli sindiket ke sebuah hotel bajet. Tanpa menyedari, setelah dibayar upah pendahuluan serta memberi maklumat keluarga, mereka ini yang terdesak memerlukan wang telah bersetuju dengan tawaran tersebut sebelum dipaksa sindiket dadah ini untuk membawa dadah ke luar negara," katanya.

Tambahnya, kesalahan menyeludup dadah adalah jenayah yang amat serius dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pekerjaan yang meragukan di laman sosial. Sekiranya meragui tawaran tersebut, salurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.