Gajah mengamuk, pekerja pusat konservasi maut

Kawasan mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian. Foto: IPD Hulu Terengganu
Kawasan mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian. Foto: IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pekerja Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) warga Thailand maut dipercayai diserang seekor gajah ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memberi makan haiwan itu di pusat konservasi berkenaan kira-kira jam 8.15 pagi pada Rabu.

Mangsa, Anucha Tangsakun, 38 yang merupakan penjaga gajah di kawasan itu cedera parah pada bahagian perut dan luka di paha dipercayai terkena tusukan gading gajah digelar Tenang berusia lingkungan 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan.

Menurutnya, ketika kejadian, gajah itu diikat dengan rantai di kaki dan ditambat di tiang di dalam kawasan santuari.

Keadaan kejadian di lokasi penempatan gajah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Keadaan kejadian di lokasi penempatan gajah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

"Mangsa dipercayai pergi ke lokasi gajah tersebut untuk melakukan kerja-kerja rutin pembersihan, memberi makan dan membawa gajah itu ke sungai.

"Saksi kejadian yang merupakan pekerja di situ memberitahu terdengar suara mangsa seperti dihempap benda berat sebelum bergegas ke lokasi itu.

"Sebaik tiba, mangsa sudah tidak bernyawa dengan kesan terbelah pada perut serta luka pada bahagian paha, selain kesan darah pada belalai gajah. Pekerja berkenaan segera meminta bantuan beberapa pekerja lain untuk mengalihkan gajah tersebut dan memaklumkan kejadian kepada pihak pengurusan," katanya kepada pemberita pada Rabu

Artikel Berkaitan:

Mohd Adli berkata, mangsa kini di bawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat dan saringan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati emosi gajah berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil kerana sering diganggu gajah-gajah liar yang muncul dari kawasan berhampiran.

"Emosi gajah itu dikatakan kurang stabil kerana dua minggu lalu terdapat kumpulan gajah liar masuk ke kawasan santuari dan gajah berkenaan telah dicederakan seekor gajah liar jantan pada bahagian belalainya," katanya.

Pintu masuk Kenyir Elephant Conservation Village (KECV).
Pintu masuk Kenyir Elephant Conservation Village (KECV).