Curi tabung surau RM150, penganggur didenda RM2,600

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Padah memiliki tabung surau, seorang penganggur didenda RM2,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan mencuri, tiga hari lalu.

Muhammad Fadhil Azmi, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sebuah tabung surau milik Surau As Sufi Selayang Height sehingga menyebabkan kerugian RM150, yang mana tertuduh mengetahui bahawa barang tersebut adalah harta curi.

Kesalahan dilakukan di balai Pangsapuri Selayang Height, Gombak pada jam 3.40 petang, 20 Jun lalu.

Kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda.

Mengikut fakta kes, pada 18 Jun lalu, polis menerima laporan tentang kehilangan tabung surau, yang diletakkan di tepi lif di pangsapuri berkenaan.

Hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mendapati seorang lelaki telah memecahkan tabung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dua hari kemudian, sepasukan polis kemudian telah membuat penggeledahan di sebuah unit rumah pangsapuri itu iaitu rumah tertuduh. Polis kemudian telah menemui barang kes (tabung) dan pakaian yang digunakan tertuduh semasa melarikan tabung surau.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan, merayu agar anak guamnya diberi hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri dan seorang anak.

"Sebelum ini dia bekerja di pasar borong Kuala Lumpur tetapi kini dia berstatus penganggur," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria mencadangkan tertuduh diberi hukuman setimpal sebagai pengajaran.