Polis Johor tumpas sindiket penipuan tawaran kerja e-dagang

Ayob (kiri) menunjukkan sebahagian daripada barangan rampasan.
Ayob (kiri) menunjukkan sebahagian daripada barangan rampasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menahan 22 individu yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam platform e-dagang melalui beberapa serbuan di Kota Tinggi pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan 11 wanita berumur antara 15 hingga 28 tahun.

Menurut beliau, serbuan dan pemeriksaan itu dilakukan kira-kira jam 4 petang hingga 11 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor di empat buah premis kediaman di Kota Tinggi.

"Kesemua suspek dipercayai menjalankan kegiatan sebagai pekerja pusat panggilan (service centre) kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen platform e-dagang (jual beli secara dalam talian) sebagai kerja sambilan.

"Kita percaya terdapat kumpulan lain yang bertindak sebagai 'ibu pejabat' di lokasi lain yang akan membuat hebahan melalui laman sosial dan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp secara rawak kepada mangsa dengan menawarkan pekerjaan secara sambilan sebagai ejen jual beli secara dalam talian bagi menjana pendapatan sampingan.

"Mangsa yang berminat diarahkan untuk menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam mesej berkenaan.

"Talian yang dihubungi oleh mangsa itu akan dijawab oleh kumpulan yang ditangkap oleh pihak polis (suspek) yang bertindak sebagai pusat panggilan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini.

Jelas Ayob, dalam serbuan itu, polis merampas 48 telefon bimbit pelbagai jenama, 12 unit komputer tiba, dua buku latihan dan dua unit modem.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ayob berkata, kumpulan suspek itu telah beroperasi sejak sebulan yang lalu, mendapat gaji sehingga RM3,000 seorang dan sering bertukar-tukar lokasi operasi serta pekerja agar sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Ayob (dua dari kanan) menunjukkan modus operandi sindiket.
Ayob (dua dari kanan) menunjukkan modus operandi sindiket.

Katanya, suspek turut menyasarkan warganegara Singapura sebagai mangsa utama mereka selain penduduk tempatan.

"Kumpulan suspek ini akan menawarkan mangsa untuk menjadi 'regular agent' atau 'VIP agent' yang masing-masing menawarkan komisen lapan peratus dan 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan.

"Mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang di mana kononnya barangan tersebut telah sedia ada.

"Mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran berdasarkan nilai produk yang diarahkan ke akaun bank yang dikawal oleh sindiket. Mangsa dijanjikan akan menerima semula wang mereka berserta komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat," ujarnya.

Jelas Ayob, bagi meyakinkan mangsa yang sindiket kononnya menjual barangan dari platform e-dagang, sindiket memberikan 'link' kepada produk yang dijual di platform yang dibayar oleh mangsa.

"Mangsa yang terpengaruh kemudiannya akan mengikut arahan sindiket tanpa menyedari yang ia adalah suatu penipuan, manakala segala komunikasi antara sindiket dan mangsa adalah melalui aplikasi WhatsApp dan WeChat sahaja," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.