X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

PGA rampas 50 ekor kambing korban seludup

Sejumlah 50 ekor kambing dipercayai diseludup dari negara jiran bagi persediaan Hari Raya Aidiladha dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalian 7 di Kampung Jubakar, Tumpat pada Rabu.
A
A

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menahan seorang pemandu lori dengan muatan 50 ekor kambing bernilai RM56,000 dipercayai diseludup dari negara jiran bagi persediaan Aidiladha di Kampung Jubakar di sini pada Rabu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Kontraban pada jam 12.30 tengah malam ketika pasukan anggotanya sedang menjalankan rondaan berkereta di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika rondaan pasukannya terserempak sebuah lori jenis Daihatsu Delta berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di Kampung Jubakar dan bertindak menahannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori menjumpai 50 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Pemandu lelaki itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azhari berkata, kambing berkenaan akan ditransitkan ke sebuah stor di satu kawasan sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Katanya, kesemua kambing dan lori dibawa ke Balai Polis Chabang Empat di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Dalam perkembangan berlainan, pasukan sama turut merampas 300 liter petrol bernilai RM615 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di Pangkalan Haram Tanjung, Pengkalan Kubor, di sini.

Azhari berkata, serbuan dilakukan pada jam 11 malam selepas pihaknya ternampak beberapa lelaki mengangkat tong dari dalam sebuah kereta ke dalam perahu ketika melakukan runtin rondaan.

“Semasa polis menghampiri, mereka bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah negara jiran,Thailand manakala selebihnya melarikan diri menggunakan kereta tersebut,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!