Beri penjelasan tentang vaksin dalam bahasa Dusun

Maximus beri penerangan dalam bahasa Dusun kepada salah seorang penduduk yang menerima vaksin Covid-19 di Kampung Sungai Magandai, Kota Marudu.
Maximus beri penerangan dalam bahasa Dusun kepada salah seorang penduduk yang menerima vaksin Covid-19 di Kampung Sungai Magandai, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Prihatin dengan situasi penduduk di kawasan pedalaman yang kurang mendapat maklumat mengenai vaksin Covid-19, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turun padang memberi penjelasan mengenai program vaksinasi yang diadakan di daerah ini.

Malah, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut memberi penerangan dalam bahasa Dusun supaya penduduk lebih mudah memahami mengenai vaksin dan seterusnya tidak takut untuk menerima suntikan vaksin.

Difahamkan, beliau terpaksa menempuh perjalanan berbukit selama lebih tiga jam dengan menaiki pacuan empat roda untuk sampai ke Kampung Sungai Magandai yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari pekan Kota Marudu.

Dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa itu turut disertai sekumpulan doktor, jururawat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan penduduk di lima mukim di kawasan itu tidak tercicir menerima vaksin.

Menurut Maximus, program vaksinasi mula diperluaskan ke kawasan pedalaman dan seramai 300 orang di sekitar kawasan itu telah dikenal pasti untuk menerima vaksin dalam fasa pertama program ini.

Maximus menyerahkan kad vaksinasi Covid-19 kepada salah seorang penduduk selepas selesai menerima dos pertama pada Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai pada Selasa.
Maximus menyerahkan kad vaksinasi Covid-19 kepada salah seorang penduduk selepas selesai menerima dos pertama pada Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai pada Selasa.

"Terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung di kawasan ini dan daripada jumlah itu, sekitar 300 penduduk disasarkan untuk menerima vaksin bagi fasa pertama program ini," katanya pada majlis pelancaran Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai pada Selasa.

Maximus berkata, program itu banyak memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar terutama mereka yang sukar untuk bergerak keluar dari kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pada awalnya sambutan agak perlahan, namun menjelang tengah hari saya lihat ia mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih ramai penduduk mulai tampil untuk divaksinasi," katanya.

Setakat pertengahan Jun ini, seramai 15,265 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di daerah ini dan daripada angka itu, seramai 6,018 telah menerima dos pertama vaksin manakala 1,949 orang lagi telah lengkap menerima dua dos.