Lelaki ditahan ugut wanita sokong Ain Husniza

Polis tahan seorang lelaki disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang wanita, yang menunjukkan sokongannya kepada pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.
Polis tahan seorang lelaki disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang wanita, yang menunjukkan sokongannya kepada pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang wanita, yang menunjukkan sokongannya kepada pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berusia 20-an yang berasal dari Kulim, Kedah, telah ditahan dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.

"Suspek yang baharu tamat lepasan universiti di United Kingdom itu telah diberi jamin, sementara menunggu proses siasatan dapat dilengkapkan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

A Asmadi berkata, Ain Husniza telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan oleh pengadu pada 10 Mei lalu di Putrajaya.

"Ia berpunca daripada komen pengadu tentang isu kes Ain Husniza yang dibalas oleh suspek tersebut seolah-olah membuat ugutan terhadap pengadu melalui Twitter.

"Kewajaran kenyataan Ain Husniza diambil adalah untuk melengkapkan siasatan berkaitan kes tersebut," katanya.

Asmadi memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Ain Husniza sebelum ini menjadi perhatian apabila mendedahkan tindakan gurunya membuat jenaka lucah. Dia turut menerima ancaman rogol daripada pelajar sekolahnya susulan pendedahan terbabit.

Artikel Berkaitan: