Tukang cuci berdepan empat pertuduhan termasuk membunuh

Tertuduh dituduh membunuh seorang lelaki di Jalan Perak pada 15 Jun lalu.
Tertuduh dituduh membunuh seorang lelaki di Jalan Perak pada 15 Jun lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang tukang cuci yang menghadapi empat pertuduhan termasuk membunuh didakwa di mahkamah berasingan di sini pada pagi Rabu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Adlin Abdul Rahman, 46, didakwa telah melakukan pembunuhan ke atas Teoh Kar Hin yang berusia 61 tahun di Jalan Perak pada jam 6.45 pagi, 15 Jun lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sukarela telah menghalang empat orang penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka di lampu isyarat Jalan Perak, persimpangan Jalan P Ramlee di antara jam 6.45 hingga 7.25 pagi, hari yang sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Sementara pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa telah memberi dadah jenis methamphetamine kepada dirinya sendiri di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 5 petang, hari sama.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibacakan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret R Manomani.

Artikel Berkaitan:

Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh bagi pertuduhan membunuh, manakala bagi dua pertuduhan tertuduh memohon agar dibicarakan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Mohamad Adlin meminta agar dibicarakan di atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 12.5 gram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Batu Uban 2, Gelugor pada jam 7.20 pagi, 15 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim dihadapan Hakim Norsalha Hamzah sementara Mohamad Adlin diwakili peguam, R Puran.

Manomani dan Norsalha menetapkan 12 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Sementara itu, untuk tiga pertuduhan lagi, tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh.

Dalam kejadian minggu lalu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki selepas dia cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Batu Uban berhampiran Kondominium E Park di sini.

Dalam kejadian pada jam 6.40 pagi itu, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dikatakan turut merempuh seorang lelaki yang sedang melintas jalan berhampiran Pasar Pagi Jalan Perak hingga menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap di tempat kejadian dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki 14 rekod dadah cuba lari dari SJR, rempuh pejalan kaki