Lelaki ditahan guna identiti palsu tipu urusan jual beli

Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan kad kredit yang dirampas untuk aktiviti penipuan urusan jual beli dalam talian.
Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan kad kredit yang dirampas untuk aktiviti penipuan urusan jual beli dalam talian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menggunakan pelbagai identiti palsu untuk aktiviti penipuan urusan jual beli dalam talian sejak tiga tahun lalu melibatkan kerugian sebanyak RM80,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 35 tahun itu mendapat 'ilmu penipuan' daripada rakannya di United Kingdom.

Menurut beliau, suspek dipercayai membuat kad pengenalan palsu daripada maklumat yang diperoleh di Facebook sebelum memohon kad kredit bank secara dalam talian.

Eng Lai berkata, suspek yang juga peniaga dalam talian bergerak secara solo untuk melakukan aktiviti penipuan urusan jual beli dalam talian.

"Modus operandi suspek adalah barangan yang dibeli dibayar melalui akaun e-wallet yang didaftarkan atas maklumat individu palsu.

"Barangan yang diperoleh secara penipuan itu kemudian akan dijual semula dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Rabu.

Eng Lai berkata, tindakan licik suspek akhirnya terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang pengurus sebuah syarikat menjual alatan memancing yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM14,000 pada Jumaat.

"Mangsa mendakwa dia tidak menerima wang daripada suspek selepas menghantar barang kepada suspek. Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas suspek di Sungai Buloh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya telah merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti penipuan urusan jual beli antaranya 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 131 kad sim prabayar, 45 kad kredit bank, lapan kad pengenalan palsu dan dua keping pasport palsu.

"Kita turut merampas 32 keping kad akses, dua buah mesin pencetak kad akses, sebuah komputer riba, dua buku mengandungi maklumat mangsa dan tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran," katanya.

Katanya, polis turut menemui barangan milik mangsa antaranya lima mesin memancing pelbagai jenama, 18 unit komputer dan sebuah penghawa dingin.

"Kita turut menjumpai dua alat pemanas air, lapan 'submersible pump' dan enam mesin pelbagai jenama," katanya.

Tambahnya, suspek direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.