X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tiada komunikasi dua hala antara Malaysia, UNHCR

Dini Dalilah ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-267 bertajuk ‘Rohingya: Antara Kemanusiaan dan Kedaulatan’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Tiada komunikasi dua hala antara Malaysia dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menjadi punca lambakan pelarian Rohingya di negara, kata Presiden Persatuan Hentikan Pemerdagangan Manusia (SHUT), Dini Dalilah Wan Nordin.

Beliau berkata, masing-masing seharusnya bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha menyelesaikan kebanjiran pelarian Rohingya di negara ini.

“Bagi saya komunikasi dua hala tu tak nampak. Jika pihak UNHCR boleh berkomunikasi dengan kerajaan Malaysia, maka isu pelarian Rohingya ini dapat ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

“Berkemungkinan pihak UNHCR juga boleh tahu macam mana nak mengatur berapa ramai etnik Rohingya yang boleh masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-267 bertajuk ‘Rohingya: Antara Kemanusiaan dan Kedaulatan’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Wacana tersebut turut menampilkan Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak dan Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Kelantan, Mohd Safwan Ghazali manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas mengenai isu pemerdagangan manusia, Dini berkata, ia melibatkan perbuatan mengeksploitasi orang lain untuk mendapatkan keuntungan.

“Sebagai contoh, seseorang itu dipergunakan secara paksaan. Dalam konteks ini, tidaklah dikatakan perkara ini hanya berlaku di persempadanan sahaja, tetapi ia juga boleh berlaku dalam kalangan rakyat tempatan kita sendiri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan cuba sedaya upaya meningkatkan kawalan sempadan dengan lebih ketat di dalam negara.

Menurutnya, kerajaan turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk menghalang pemerdagangan manusia berlaku secara berleluasa.

“Kami sendiri melihat bagaimana kerajaan memberi banyak komitmen untuk membantu tetapi biasanya sindiket ini kadang-kadang mereka lebih bijak daripada kita.

“Justeru, kita perlu lebih agresif berbanding sindiket. Orang yang ada agenda ini mereka sentiasa memanipulasikan polisi,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!