Hampir separuh rakyat Kelantan sudah daftar vaksin

Dr Zaini (kiri) dan Mat melihat Dr Selasawati mencuba PPE yang disumbangkan oleh Jabatan Penjara Kelantan.
Dr Zaini (kiri) dan Mat melihat Dr Selasawati mencuba PPE yang disumbangkan oleh Jabatan Penjara Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir separuh daripada 1.2 juta populasi penduduk Kelantan yang berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk mendapatkkan vaksinasi Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebanyak 603,389 atau 48.8 peratus pendaftaran berjaya direkodkan sehingga Selasa.

Katanya, Kelantan pada awal pengenalan PICK berdepan kekangan dihadapi penduduk antaranya kesukaran capaian internet dan tidak ada pengetahuan berkaitan aplikasi MySejahtera.

“Apabila kita lihat masalah yang dihadapi oleh masyarakat Kelantan, ada yang tidak ada capaian internet, telefon bimbit atau tidak tahu menggunakan MySejahtera.

“Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilakukan dilihat membantu meningkatkan pendaftaran penerima vaksin dalam kalangan masyarakat,” katanya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob.

Dr Zaini sebelum itu menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) dan roti daripada Jabatan Penjara Kelantan.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, Kelantan setakat ini mencapai 15.3 peratus jumlah kumulatif pemberian dos vaksin iaitu 285,160 penduduk mendapat suntikan sehingga Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, sebanyak 196,784 penerima dos pertama manakala 88,376 penerima melengkapi dos kedua.

“Lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka apabila 550,000 lagi vaksin tiba di Kelantan pada Julai ini menjadikan keseluruhan 23 PPV bagi mengoptimumkan pemberian vaksin sekali gus mencapai sasaran selesai sebelum musim tengkujuh pada penghujung Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Mat berkata, pihaknya sudah menghasilkan 50,000 PPE yang dihasilkan oleh banduan.

“Material diperoleh hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan pelbagai agensi.

“Sebanyak 10,000 PPE lagi akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.