Penting bagi kerajaan ada hala tuju jelas: Mustapa

Mustapa Mohamed - Foto fail Bernama
Mustapa Mohamed - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memandangkan situasi mencabar disebabkan pandemik Covid-19, penting untuk kerajaan mempunyai hala tuju ke hadapan yang jelas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi menyediakan strategi sistematik untuk negara keluar daripada pandemik ini selain memberi jaminan kepada warga kerja dan perniagaan Malaysia memandangkan ia menetapkan garis masa yang jelas mengenai pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

“Pada beberapa hari kebelakangan ini, kerajaan telah melakukan usaha yang jauh lebih baik dalam meningkatkan program pemberian vaksin. Ini kerana kadar vaksinasi amat penting untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan selain usaha memulihkan ekonomi,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan ‘Malaysia Economic Monitor-June 2021’ secara maya.

Mustapa berkata peningkatan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan telah memberi kesan ke atas pemulihan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha mengurangkan jumlah kes jangkitan untuk menilai kesan sekatan pergerakan yang bermula 1 Jun.

“Sekiranya langkah-langkah kerajaan termasuk kadar vaksinasi yang tinggi, sekatan pergerakan dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) -- berhasil mengurangkan jumlah kes Covid-19, Malaysia boleh menjangkakan pemulihan ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Menurutnya, selain itu memahami trajektori ekonomi jangka sederhana dan panjang juga penting untuk memastikan pertumbuhan Malaysia adalah berasaskan inovasi dan produktiviti.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, kerajaan kekal komited untuk meneruskan perundingan awam-swasta, katanya.

“Perundingan ini akan membantu kerajaan dalam merancang dasar yang lebih baik dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai kesan Covid-19 ke atas aktiviti ekonomi dan pemulihan pasca Covid-19.

“Kerajaan mengambil perhatian laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ oleh Bank Dunia yang menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia kepada 4.5 peratus tahun ini, iaitu lebih rendah daripada jangkaan rasmi kerajaan pada 6.0 hingga 7.5 peratus,” katanya. - Bernama