X

Kindly register in order to view this article
!

Industri takaful perkenal VBIT

Persatuan Takaful Malaysia (MTA)
A
A

INDUSTRI takaful tempatan mengorak langkah maju bagi menerapkan agenda Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dengan memperkenalkan Rangka Kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT), pada Rabu.

Dalam kenyataannya, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyifatkan rangka kerja tersebut juga dapat menggalakkan kalangan pemain industri untuk merealisasikan objektif Syariah atau Maqasid Syariah.

"Ia mengupas secara mendalam mengenai inti pati teras VBIT iaitu Daya Tahan Kewangan, Memperkasa Komuniti, Tadbir Urus Kendiri Yang Baik dan Kelakuan Terbaik.

“Rangka kerja ini turut menjelaskan (bagaimana) strategi dan amalan perniagaan yang didorong oleh nilai dapat diterapkan dalam CVI - (nilai teras korporat), visi dan misi pengendali takaful masing-masing.

"Walaupun terdapat pelbagai pendekatan dalam melaksanakan amalan dan inisiatif berasaskan nilai ini, empat titik fokus yang diutamakan oleh Rangka Kerja VBIT ini adalah Penglibatan Inklusif Pihak Berkepentingan, Penyelesaian Berasaskan Nilai, Penilaian Berasaskan Impak dan Kolaborasi Konstruktif,” katanya.

Sehubungan itu, MTA berkata industri tersebut mempunyai matlamat untuk bekerjasama dalam usaha memaklumkan kemajuan dan keberkesanan inisiatif berasaskan nilai kepada masyarakat serta pihak berkepentingan berkaitan.

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata rangka kerja berkenaan juga penting bagi membantu industri takaful menyepadukan prinsip berasaskan nilai secara lancar dalam amalan perniagaan masing-masing.

"Ini selari dengan aspirasi untuk mencapai perlindungan inklusif bagi menangani isu sosioekonomi yang relevan bagi golongan masyarakat yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!