X

Kindly register in order to view this article
!

500 dos vaksin Covid-19 disasar di pedalaman Long Pasia

500 dos vaksin Covid-19 disasar untuk diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman Long Pasia, Sipitang menerusi Program Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP) selaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 500 dos vaksin Covid-19 disasar untuk diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman Long Pasia, Sipitang menerusi Program Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP) selaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Markas Divisyen Kelima Infantri, Kem Lok Kawi menerusi kenyataan pada Rabu memberitahu, program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah itu akan melaksana pemberian vaksin selama dua hari bermula esok.

Kenyataan itu menyebut pelepasan konvoi program itu disempurnakan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid pada Rabu di pekarangan Markas Divisyen Kelima Infantri di Kem Lok Kawi, di sini melibatkan lima kenderaan pacuan empat roda.

"Konvoi ini menggunakan laluan jalan darat melalui Jalan Lok Kawi-Papar-Beaufort-Sipitang-Long Pasia ini diketuai Pegawai Staf 1 Ordnans Leftenan Kolonel Manan Husin bersama Tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT) 5 Divisyen," kata kenyataan itu.

Long Pasia terletak di kawasan pedalaman Sabah menempatkan kira-kira 1,000 penduduk terletak sekitar 300 kilometer dari barat daya Kota Kinabalu, dan juga terletak 1,000 meter atas paras laut di kawasan tanah tinggi Maligan.

Menurut kenyataan itu, bekalan vaksin diterima daripada kerajaan Sabah dan dibawa ke kawasan Long Pasia menggunakan kaedah pergerakan helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pelaksanaan Program Jiwa Murni itu bertujuan untuk membantu Sabah mencapai sasaran imuniti kelompok penerima suntikan vaksin Covid-19 bagi penduduk di kawasan pedalamannya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!