Pengambilan graduan perubatan tidak dihentikan

Bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 pegawai perubatan UD41 dilantik secara kontrak untuk menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib. - Foto Bernama
Bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 pegawai perubatan UD41 dilantik secara kontrak untuk menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan dan program itu masih diteruskan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, graduan perubatan yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terus diberi peluang mendapat pendedahan pengalaman bekerja seperti obligasi yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Menurutnya, bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 pegawai perubatan UD41 telah dilantik secara kontrak untuk menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 789 daripada 2,544 pegawai dari Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telahpun ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Adham memberitahu, kohort lantikan lain yang masih dalam latihan dan belum dipertimbangkan pelantikan tetap dan perkhidmatan masih disambung sehingga tahun 2022.

Katanya, sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dilaksanakan secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa lagi bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.

"Kontrak ditawarkan sehingga tiga tahun supaya mereka menjalani latihan siswazah dan kemudian disambung untuk tempoh dua tahun lagi bagi melengkapkan khidmat wajib," katanya.

Beliau mengulas mengenai pandangan yang dikemukakan oleh Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia supaya kerajaan meneliti semula pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di KKM.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pelantikan secara tetap ditawarkan kepada pegawai melepasi kriteria yang digariskan menerusi surat pekeliling ditetapkan.

Selain itu katanya. pelantikan tetap dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa selaras dengan peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang berkuat kuasa.

"Pelantikan tetap melebihi perjawatan sedia ada tidak dibenarkan dan boleh mengundang teguran audit," katanya.

Tambah Dr Adham, bagi memastikan penilaian lebih adil, proses penilaian semasa latihan siswazah dilakukan pada setiap penempatan dan kriteria penilaian pelantikan tetap juga dimaklumkan kepada setiap pegawai.

"Selain itu, kementerian juga telah menubuhkan tiga peringkat Jawatankuasa Penilaian iaitu Jawatankuasa Teknikal Pelantikan Tetap di peringkat Program Perubatan, Jawatankuasa Pemilihan Pelantikan Tetap yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan perakuan pelantikan tetap kepada Pengurusan Tertinggi Kementerian iaitu Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan secara tetap," katanya.