Bekas Pengurus MARDI didakwa salah guna kuasa, kedudukan

Tertuduh (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengurus Inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan salah guna kuasa dan kedudukan melibatkan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40, yang sebelum ini berkhidmat di MARDI Besut, Terengganu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Saiful didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya untuk mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan atau 'slicer' bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 pada Mac 2015.

Mohd Saiful didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Asaari Salleh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Julai 2021.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan melapor diri ke pejabat SPRM setiap 1 haribulan pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan: