Dari Sabak Bernam ke Stadium Merdeka

Sebelum ada Dataran Merdeka, Stadium Merdekalah yang menjadi venue utama sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.
Sebelum ada Dataran Merdeka, Stadium Merdekalah yang menjadi venue utama sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.
A
A
A

SAYA entah berada di alam mana ketika kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka bermula pada Julai 1956.

Dengan keadaan itu, saya tentulah tidak tahu tentang bagaimana sukarnya arkitek warga Amerika, Stanley Edward Jewkes yang merupakan Pengarah JKR Tanah Melayu ketika itu memerah otak mencari ilham mereka bentuk stadium tersebut – tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Tunku Abdul Rahman Putra.

Saya hanya tahu lama kemudian bagaimana Jewkes menjalankan kerja-kerja mereka bentuk stadium itu dan Stadium Negara selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu di dapur rumahnya.

Saya juga hanya tahu baru-baru ini bahawa lebihan tanah yang dikorek untuk membentuk lengkok stadium itu telah diangkut ke tapak pembinaan Masjid Negara dan turut digunakan semasa pembinaannya. Ia menjadikan kedua-dua binaan itu mempunyai 'asas yang sama’.

Kerana saya belum ada, hatta setelah stadium itu mula digunakan, maka waktu itu saya tidak tahu apa-apa tentang hujan lebat berpanjangan mulai jam 3.30 pagi sehingga melewati jam 6 pagi 31 Ogos 1957.

Hujan rahmat yang menyebabkan jadual upacara Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka terpaksa ditangguhkan dari jam 7 pagi ke jam 8 pagi.

Ketika saya lahir kira-kira 15 tahun selepas Stadium Merdeka dirasmikan, saya masih tetap tidak tahu tentang stadium itu.

Saya percaya tiada siapa membisikkan apa-apa mengenainya di telinga saya. Saya hanya diazankan sebagaimana sepatutnya dan kemudian mungkin dibisikkan dengan harapan bapa untuk melihat saya membesar menjadi anak yang baik.

Artikel Berkaitan:

Saya masih berstatus ‘baby’ ketika lagenda tinju, Muhammad Ali dan Joe Bugner berentap di Stadium Merdeka. Oleh itu, saya juga tidak tahu apa-apa mengenainya.

Malah, sehingga ke peringkat itu saya masih tidak tahu apa itu Stadium Merdeka. Tetapi hanya setahun dua selepas itu, setelah mula pandai membelek, menyelak dan kadang-kadang mengoyak serta menconteng buku, saya mula kenal Stadium Merdeka.

Saya mula diberitahu di stadium itulah Tunku Abdul Rahman membaca pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

Saya juga semakin kerap mendengar nama stadium tersebut. Arwah bapa menyebutnya atas sebab-sebab sukan, emak pula atas sebab-sebab musabaqah membaca al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang sejak tahun 1960 sememangnya diadakan di situ pada setiap bulan Ramadan.

Demikianlah keadaannya. Bagi budak-budak sezaman saya, Stadium Merdeka menjadi nama yang dekat dengan kehidupan walaupun jaraknya dari rumah mungkin jauh berpuluh atau beratus-ratus kilometer.

Pada masa itu, ia menjadi salah satu nama yang bertaraf ikon kepada Kuala Lumpur, selain Tugu Kebangsaan, Muzium Negara, Zoo Negara dan bangunan Parlimen.

Di Stadium Merdeka inilah berlangsungnya bermacam-macam peristiwa dan acara besar.

Sebelum ada Dataran Merdeka, Stadium Merdekalah yang menjadi venue utama sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), Kejohanan Bola Sepak Piala Merdeka dan pelbagai kejohanan serta pertandingan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa kebanyakannya diadakan di situ. Malah, ada ketikanya ia digunakan untuk konsert hiburan berskala besar.

Kali pertama saya masuk ke stadium tersohor itu seawal usia enam tahun bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang England B.

Ternganga-nganga saya ketika itu. Bukan sahaja takjub melihat stadium yang besar agam itu tetapi juga kerana mendapati begitu ramai manusia berpusu-pusu menuju ke situ untuk menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.

Bila balik ke kampung, saya beritahu kawan-kawan, jumlah penonton hampir sejuta. Biasalah,budak-budak. Kalau agak banyak, disebutnya beribu-ribu.

Jika banyak sangat, disebut pula berjuta-juta.

Apa yang saya ketahui kemudian, jumlah penonton perlawanan itu mencecah 45,000 orang. Memang sangat ramai. Sebagai seorang budak, saya tidak tahu tentang susah senang mereka yang ramai itu membeli tiket.

Saya cuma tahu saya bernasib baik kerana pada masa itu bapa merupakan penolong setiausaha stadium tersebut.

Dan yang saya sangat-sangat tahu serta tidak akan lupa sehingga bila-bila adalah saat ‘Super Mokh’ (Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari) menjaringkan gol penyamaan pada pertandingan yang berkesudahan seri 1-1 itu.

Jaringan itu menyebabkan seluruh stadium gegak gempita sehingga terasa bergegar bumbung dan tempat duduk.

Selepas menonton perlawanan itu, saya terus bercita-cita menjadi pemain bola sepak. Hendak jadi sehebat ‘Super Mokh’.

Untuk beberapa hari berikutnya saya tidak berpisah daripada bola plastik saya. Ke hulu ke hilir di sekeliling rumah, menggelecek bola seorang diri.

Ayam dan kucing pun tidak berani hendak masuk dekat.

PerlawananAda satu lagi kenangan manis saya dengan Stadium Merdeka.

Ketika itu saya baru lepas SPM dan daripada laporan akhbar, saya mendapat tahu ada beberapa perlawanan bola sepak di stadium tersebut hujung minggu itu. Turut berentap ialah pasukan Selangor.

Ketika itu Selangor adalah antara pasukan digeruni dalam sukan bola sepak. Jika sebut saja Selangor, bukan mustahil ada lawan terkucil dalam seluar.

Saya pula memang peminat setia Selangor. Atas nama kesetiaan terhadap pasukan itulah, saya menaiki bas ekspres dari Sabak Bernam ke Kuala Lumpur. Turun di Pudu Raya, menapak ke Petaling Street, kemudian lalu di celah lorong restoran Cina, menapak menaiki bukit lagi ke stadium.

Sebagai remaja marhain, saya tidak membawa banyak wang. Kalau hendak bawa banyak pun tak boleh sebab memang tak ada.

Jadi seusai perlawanan, saya terpaksa mencari tempat tidur kerana pada waktu seperti itu tidak ada lagi perkhidmatan bas ke Sabak Bernam selepas perlawanan berlangsung.

Saya jumpa tempat yang sesuai. Kompleks Kota Raya. Di situlah saya melepak sepanjang malam. Jika terlelap pun setakat ‘lelap-lelap ayam’.

Tidak berani hendak tidur betul-betul sebab takut dipukau, dirompak, diculik dan sebagainya.

Esoknya pagi-pagi saya menapak ke Pudu Raya sekali lagi dan dengan bas pertama saya bertolak balik – sekali lagi dengan semangat meruap-ruap untuk menjadi pemain bola sepak.

Kenangan-kenangan itulah menyebabkan saya menjadi antara orang sangat bersedih apabila timbul ura-ura Stadium Merdeka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Memanglah pada waktu cakap-cakap itu timbul, stadium tersebut telah hilang glamornya. Tumpuan orang telah beralih kepada Stadium Bukit Jalil dan Stadium Melawati yang lebih besar dan lebih gah.

Namun hati kecil saya berkata, jika Stadium Camp Nou atau Stadium Wembley dibawa pindah ke Malaysia sekalipun, Stadium Merdeka tidak sepatutnya diusik.

Mujurlah cakap-cakap yang menakutkan itu tidak menjadi kenyataan. Kerajaan membuat keputusan tidak merobohkan stadium itu. Kerana itu kekallah ia sehingga sekarang, walaupun tidak lagi gah sebagai stadium sukan, namun tetap kekal sebagai ikon yang sarat dengan sejarah.

Pun begitu agak malang sedikit kerana stadium itu kian lama kian terpinggir daripada hati rakyat Malaysia.

Ramai sekadar tahu menyebut namanya, itu pun kerana kaitannya dengan sejarah kemerdekaan tetapi tidak tahu di mana letaknya stadium tersebut.

Rombongan dari luar yang datang ke Kuala Lumpur sanggup terlajak hingga ke kedai-kedai karpet di Nilai, namun untuk singgah sebentar di Stadium Merdeka, mereka tak sudi, walhal apalah sangat sumbangan karpet itu kepada negara kalau hendak dibandingkan dengan sumbangan tersebut. #dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia