Lantik lebih ramai guru satu pelaburan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuat pengambilan khas seramai lebih 18,000 guru baharu bagi mengisi kekosongan jawatan itu di sekolah-sekolah seluruh negara bermula bulan depan amat dialu-alukan.

Antara mata pelajaran yang dikesan mengalami masalah kekurangan guru tersebut ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di peringkat sekolah rendah, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Di sebalik pengumuman tersebut, banyak pihak berharap ia merupakan langkah serius kerajaan untuk menangani masalah kekurangan guru, yang antara lain berpunca daripada kekurangan calon akibat ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

Pada masa yang sama, KPM diminta meneliti dan berbincang dengan pihak universiti untuk memansuhkan atau menggantikan beberapa program sarjana muda pendidikan yang semakin kurang relevan dengan landskap persekolahan semasa serta tidak memerlukan bilangan guru yang ramai.

Sebaliknya, institusi perguruan harus memberi penekanan dalam menghasilkan lebih ramai siswazah pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan bidang kritikal lain.

Pengambilan lebih ramai guru bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah lambakan siswazah perguruan, malah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkualiti dan berkesan.

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mencadangkan supaya negara-negara mengamalkan nisbah seorang guru untuk 15 orang murid, namun realiti yang berlaku di Malaysia sekarang ialah seorang guru untuk 35 ke 40 murid.

Jika saranan 1:15 dianggap terlalu ideal, KPM boleh memperhalusi cadangan yang lebih realistik buat masa ini iaitu seorang guru untuk 25 ke 30 murid.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan pengambilan lebih ramai guru akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk sektor pendidikan yang ketika ini berada pada paras RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada RM322.5 bilion Belanjawan 2021.

Namun begitu, pendidikan adalah satu pelaburan paling penting demi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.