X

Kindly register in order to view this article
!

Hairan desakan buka Parlimen 14 hari tidak rujuk MKT UMNO

A
A

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin UMNO hairan dengan pendirian parti itu berhubung desakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera membuka sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, tidak dirujuk ke dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen parti terlebih dahulu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat hasil mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan malam Ahad, mungkin berasaskan kuasa prerogatif Presiden parti.

Namun, Exco Puteri UMNO itu berpandangan kenyataan Ahmad Zahid belum mengikat pendirian UMNO kerana MKT UMNO sebenarnya merupakan badan tertinggi parti untuk melaksanakan sebarang ketetapan atau keputusan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Saya faham mengenai kekeliruan dicetuskan disebabkan kenyataan Presiden parti yang menjelaskan hasil mesyuarat Biro Politik UMNO.

"Namun pada pandangan saya, cadangan itu perlu dibawa ke dalam mesyuarat MKT UMNO untuk membolehkan ia menjadi ketetapan yang mengikat parti.

"Hakikat sebenar, tindakan sebegini daripada Biro Politik UMNO bukan pertama kali terjadi dan soal sama ada Biro Politik cuba hendak melangkaui bidang kuasa MKT, itu (media) kena tanya anggota Biro Politiklah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Zahid melalui Biro Politik UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh 21 Jun.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong akan dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Rabu minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Sementara itu, Khaidhirah secara peribadi menegaskan proses persiapan diperlukan kerajaan untuk melaksanakan sidang Parlimen buat sesuatu perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam tempoh 14 hari sebagaimana dituntut UMNO.

Khaidhirah bagaimanapun berkeyakinan tuntutan UMNO disandarkan kepada unjuran tidak akan melakukan sebarang tindakan drastik termasuk membentuk jajaran baharu bagi membentuk kerajaan baharu.

"Secara peribadi, saya tidak mahu sidang Parlimen digunakan untuk satu platform lain seperti menukar kerajaan kerana sebarang bentuk perbincangan atau apa jua usul dibahaskan dalam Parlimen perlu betul-betul demi kepentingan rakyat.

"Sejak kekalahan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sehingga pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO sentiasa berusaha memastikan kestabilan politik negara terjaga.

"Saya turut berkeyakinan dalam masa terdekat, kita tidak ada unjuran untuk melakukan sebarang tindakan drastik sehingga merugikan rakyat," katanya.

Pandangan Khaidhirah turut dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin yang berkeyakinan ahli-ahli MKT tidak akan menyokong kenyataan dibuat Ahmad Zahid susulan mendapat nasihat Biro Politik parti.

Lebih parah, Fuad mengakui kenyataan Ahmad Zahid itu sebenarnya menambahkan kebimbangan akar umbi terhadap pendirian sebenar UMNO susulan beberapa ketetapan parti sebelum ini dibuat secara tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

"Pada saat kerajaan PN sedang menumpukan usaha mempercepatkan program vaksinasi rakyat dengan sasaran 80 peratus daripada mereka berjaya divaksin bagi membentuk imuniti berkelompok sebelum Mac 2021.

"Saya penuh percaya ahli-ahli MKT tidak akan menyokong kenyataan Presiden yang dibuat berasaskan keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO.

"Saya berpandangan soal mempercepatkan proses pemberian vaksin adalah lebih penting daripada segalanya, termasuk sidang Parlimen itu sendiri. Justeru, tumpuan semua pemain politik perlu difokuskan ke arah itu," katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pemimpin akar umbi UMNO menyifatkan tuntutan terkini UMNO itu adalah amat wajar dan tidak bertentangan dengan perlembagaan parti itu sendiri.

Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, keputusan hasil mesyuarat Biro Politik UMNO dikemukakan setelah segala maklum balas serta pandangan semua ahli-ahli biro berkenaan dipertimbangkan semasak-masaknya terlebih dahulu.

"Saya melihat langkah terkini UMNO itu merupakan sebahagian strategi politik bagi mendapatkan maklum balas rakyat serta pemimpin akar umbi sebelum satu tindakan susulan dimuktamadkan dalam mesyuarat MKT kelak.

"Saya juga menolak persepsi 'psywar' kerajaan PN kononnya UMNO hendak adakan jajaran baharu dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi tindakan ini kerana apa diputuskan parti adalah selari dengan pendirian asal UMNO sejak sebelum proklamasi darurat dilaksanakan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!