Benarkan orang biasa bersidai di ‘dewan rakyat’

Agaknya bilakah majlis makan tengah hari sambil bersosial seperti ini boleh diadakan semula?
Agaknya bilakah majlis makan tengah hari sambil bersosial seperti ini boleh diadakan semula?
A
A
A

PARA sahabat sering bertanya, apakah yang saya lakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan sejak awal Jun 2021 dan disambung dua minggu lagi mulai 15 hingga 28 Jun.

Jawapan saya – kita tidak boleh ke mana. Terkurung di rumah, kecuali keluar untuk beriadah di kawasan kejiranan di mana saya tinggal pada sebelah pagi atau petang, atau keluar membeli makanan atau urusan-urusan kecemasan lain yang dibenarkan.

Tempoh duduk di rumah selama sebulan itu kini dikenali sebagai Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang 15 Jun lalu.

Bersidai untuk ngobrol atau ngeteh dan ngopi di kedai makan masih dilarang sepanjang tempoh tersebut.

Semoga pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara bermula Julai ini, kerajaan lebih bersikap kemanusiaan dan bersedia menimbang memberi kebenaran untuk makan dan minum di restoran kegemaran kita.

Hal itu kerana jika wakil rakyat dibenarkan bersidang pada waktu terdekat ini untuk membahaskan isu-isu besar negara menurut perspektif dan kepentingan mereka, maka adalah juga logik untuk mengizinkan rakyat biasa berkumpul dan berbicara mengenai isu-isu yang dekat dengan diri mereka di restoran-restoran pilihan mereka.

Bagi kebanyakan orang biasa, restoran yang sering dikunjungi untuk bersama rakan dan kenalan dari masa ke masa mempunyai status yang sama dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi kalangan yang bergelar Yang Berhormat.

Di sanalah mereka bertanya khabar secara bersemuka, berbahas dan berbincang walaupun tiada agenda teratur serta khusus disediakan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kerajaan atau lebih tepat lagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak perlu menunggu 'titah pandangan’ Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang lain untuk mengizinkan orang biasa bersidai di kedai makan kegemaran masing-masing - asalkan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat PKP 3.0.

Hal itu dikatakan demikian kerana mesej tersirat yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong ketika menitahkan Dewan Rakyat dibuka secepat mungkin, juga ditujukan kepada pembukaan untuk rakyat biasa bersidai di gerai-gerai, restoran dan kafe.

Tempat-tempat itu adalah 'dewan rakyat’ bagi golongan bawahan. Keistimewaan boleh diberi kepada pengguna yang telah melengkapkan vaksinasi dua dos vaksin Covid-19. Kalangan yang telah disuntik dos pertama juga boleh dibenarkan.

Jika yang sudah divaksinasi terus dikurung, tiada apa-apa makna terhadap suntikan yang telah diberikan. Keadaannya sama seperti mereka tidak divaksinasi.

Berkurung

Sekurang-kurangnya jika dine in dibenarkan, orang biasa yang tertekan kerana berkurung di rumah boleh singgah di mana-mana gerai atau restoran untuk pekena teh atau roti canai atau nasi lemak.

Dengan kata lain, kita tidak perlu membungkus makanan atau minuman untuk dibawa pulang terutama bagi mereka yang berjalan santai sewaktu beriadah pada waktu pagi dan petang seperti yang kerap saya serta sahabat lain lakukan, antaranya termasuklah Datuk Yusof Haslam, pengarah filem terkenal dan pemilik Skop Productions.

Terima kasih kepada MKN kerana membenarkan kegiatan riadah dilakukan dalam kawasan kejiranan di mana kita tinggal.

Selain membenarkan orang biasa bersidai di 'dewan rakyat’ pilihan mereka, pertimbangan serius hendaklah diberikan kepada pembukaan sektor ekonomi yang dikategorikan sebagai 'bukan keperluan’ menurut perspektif MKN tetapi 'perlu’ bagi golongan pekerja yang dipotong gaji atau diberi cuti tanpa gaji semasa perintah berkurung PKP 3.0.

MKN kena ingat, bukan semua jenis pekerjaan sesuai untuk bekerja dari rumah (BDR).

Bidang latihan adalah salah satu daripadanya. Keberkesanan latihan atau kursus tertentu yang memerlukan latihan praktikal di bilik latihan, tidak sama sekiranya dilakukan secara atas talian.

Keadaannya samalah seperti orang belajar menembak tanpa pistol atau senapang.

Apa lagi kalau latihan itu membabitkan penggunaan alat-alat khusus untuk menajamkan kemahiran peserta.

Pengalaman juga membuktikan bagi mereka yang BDR pada waktu PKP 3.0 memang mencabar kerana ada gangguan lain terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Mereka, anak-anak kecil menganggap ibu bapa yang BDR sebenarnya bercuti dan perlu memberi perhatian terhadap keperluan dan kebajikan mereka di rumah.

Hasilnya, adakala tiada kerja yang dilakukan secara BDR. Masa dihabiskan untuk melayan kerenah anak-anak atau suami atau isteri yang minta itu dan ini.

Kesannya, produktiviti BDR tidak sama dengan bekerja di pejabat. Banyak rujukan kerja sebenarnya ada dalam fail yang tersimpan rapi di pejabat. Tetapi nak buat macam mana. Keadaan memaksa kita akur dengan arahan yang telah ditetapkan kerajaan.

Vaksin

Moga dengan meningkatnya kedatangan pelbagai jenama bekalan dos vaksin Covid-19 yang bakal kita terima mulai bulan depan - khabarnya ada 16 juta dos akan sampai ke Malaysia, lebih ramai rakyat yang telah mendaftar akan menerima vaksinasi masing-masing.

Dengan itu, matlamat mewujudkan imuniti berkelompok (herd immunity) iaitu 80 peratus penduduk Malaysia telah menerima suntikan vaksin akan segera menjadi kenyataan sebelum penghujung tahun ini atau malah lebih awal lagi.

Insya-ALLAH menjelang waktu itu, kehidupan kita akan kembali normal. Kita boleh beriadah di taman-taman awam yang ketika PKP 3.0 ditutup oleh pihak berkuasa.

Dewan Rakyat boleh bersidang siang dan malam. Orang biasa pula boleh bersidai di gerai, kafe dan restoran tanpa mengira waktu, selain mengumpul pahala dengan mengerjakan solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid serta surau.

Yang tidak kurang pentingnya, kita boleh kembali bekerja di pejabat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tidaklah kita terseksa jiwa raga akibat terperuk di rumah untuk tempoh yang terlalu lama.

Bagi kebanyakan orang biasa, restoran yang sering dikunjungi untuk bersama rakan dan kenalan dari masa ke masa mempunyai status yang sama dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi kalangan yang bergelar Yang Berhormat.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)