Pengusaha kantin sekolah terbeban kos operasi

Pengusaha kantin sekolah terbeban dengan kos penyelenggaraan yang masih berjalan seperti biasa walaupun premis tersebut ditutup sepanjang pelaksanaan SPP.
Pengusaha kantin sekolah terbeban dengan kos penyelenggaraan yang masih berjalan seperti biasa walaupun premis tersebut ditutup sepanjang pelaksanaan SPP.
A
A
A

BANGI - Pengusaha kantin sekolah masih terbeban dengan kos penyelenggaraan kantin dan pekerja walaupun sekolah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan.

Sinar Harian difahamkan ada segelintir mereka terpaksa melakukan perniagaan lain demi membayar kos-kos tersebut sehingga ada yang terpaksa meminjam sejumlah wang daripada ahli keluarga bagi tujuan itu.

Pengusaha kantin SMK Tasek Permai, Ampang, Khairuddin Hamzah, 40 berkata, dia perlu membayar kos penyelenggaraan bulanan seperti biasa walaupun kantin tidak beroperasi sepanjang pelaksanaan SPP.

Menurutnya, kos tersebut dianggarkan sekitar RM5,000 sebulan yang melibatkan pembayaran gaji pekerja, selenggara kantin, bil utiliti dan lain-lain.

Khairuddin berkata, dia kini terpaksa menjual makanan dalam talian demi membayar kos-kos tersebut dan menampung kehidupan keluarga.

Khairuddin
Khairuddin

"Saya masih perlu membayar gaji kepada tujuh orang pekerja, bil utiliti walaupun saya langsung tiada pendapatan di kantin.

"Sekarang saya menjual makanan dalam talian tetapi dengan persaingan sekarang susah untuk meraih pendapatan RM1,000 sebulan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Bagi Abdul Rahman Mohd, 66 yang mengusahakan kantin sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 6, di sini dan SK Saujana Impian, Kajang berkata, walaupun perniagaannya terjejas akibat penutupan sekolah, namun dia perlu berusaha untuk membayar gaji pekerja-pekerjanya demi kelangsungan hidup mereka.

Katanya, dia kini hanya menjana pendapatan harian sebanyak RM100 dengan menjual mi kari di kedai rakannya di Saujana Impian, Kajang dan hasil jualan diagihkan kepada lapan pekerjanya.

"Saya tak mahu pekerja-pekerja saya lari ke tempat lain, jadi saya tolong apa yang sepatutnya. Malah saya juga minta rakan-rakan untuk berikan pekerjaan lain kepada pekerja-pekerja saya.

"Mana-mana bantuan yang saya terima, saya akan agihkan kepada pekerja-pekerja kerana mereka juga manusia yang perlu bekerja untuk teruskan hidup," katanya.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Dalam pada itu, salah seorang pekerja kantin sekolah di Cheras, Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Hani berkata, pendapatan keluarganya merosot sebanyak 75 peratus sejak dia dan suaminya tidak dapat bekerja di kantin sekolah.

Dia yang kini menjadi suri rumah sepenuhnya masa terpaksa bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan gaji kurang daripada RM500 sebulan.

"Walaupun kerajaan ada berikan bantuan sara hidup, tapi kehidupan kami sekeluarga sangat terkesan dengan penutupan kantin sekolah kerana dengan pendapatan itulah kami menyara tiga orang yang masih bersekolah.

"Saya harap kerajaan benarkan operasi kantin sekolah supaya kami dapat mencari pendapatan untuk menyara hidup keluarga, terutamanya bila tinggal di bandar ini," katanya yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi PPKSM, Hamzah Omar menggesa kerajaan untuk menyambung moratorium selama enam bulan bermula Julai ini hingga November 2021 dan sambungan automatik bagi kontrak perjanjian kantin yang bakal tamat pada tahun ini.

Hamzah ketika sidang media di sini pada Selasa.
Hamzah ketika sidang media di sini pada Selasa.

Katanya, memorandum tersebut pernah dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada September lalu, namun masih tidak mendapat sebarang respon daripada pihak tersebut.

"Kami sangat kesal kerana permasalahan ini seperti dipandang sepi dan tidak dipedulikan oleh pihak KPM kerana ramai dalam kalangan ahli kami turut terjejas sehingga ada yang ingin mengundur diri daripada terus mengusahakan kantin sekolah.

"Jadi kami sangat berharap pihak berwajib dapat membantu dan mengambil berat akan nasib pengusaha dan pekerja kantin kerana mereka seakan terpinggir daripada menerima bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan," katanya.