X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat miskin bertambah papa

1
A
A

KISAH pesara tentera lima anak yang tinggal di bawah jejambat di Kuala Lumpur akibat kesempitan hidup baru-baru ini cukup menjentik hati ramai orang.

Bekas prebet tentera yang dikenali sebagai Pak Cik Suria itu terpaksa tinggal di bawah jejambat itu sejak November 2019 dengan keadaan serba kekurangan.

Walaupun mendapat pencen setiap bulan, namun ia tidak cukup bagi menanggung isteri dan anak-anaknya.

Lelaki berusia 59 tahun itu terpaksa mencari pendapatan tambahan dengan membuka gerai, namun pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perniagaannya sehingga dia hilang mata pencarian.

Selain kisah Pak Cik Suria, kita juga dikejutkan dengan kisah keluarga Ramesh di Kepong, Kuala Lumpur yang terpaksa hidup bergelandangan setelah hilang kerja.

Ramesh bersama isterinya yang sarat mengandung dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun menjadi gelandangan sejak enam bulan lalu disebabkan Ramesh sukar mendapat pekerjaan sejak PKP.

Sama ada kisah Ramesh atau Pak Cik Suria, percayalah bahawa realitinya ramai lagi di luar sana mengalami nasib sama. Ramai yang berdepan kesempitan hidup selepas hilang kerja dan mata pencarian akibat Covid-19.

Namun, tamparan paling perit dirasai oleh golongan miskin dan rentan termasuklah juga rakyat yang hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung wang simpanan, golongan pekerja informal yang tidak dilindungi jaringan keselamatan sosial, mereka yang kehilangan kerja atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji susulan PKP.

Menurut pakar ekonomi, kadar kemiskinan di Malaysia didapati meningkat kerana ramai rakyat kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji akibat pandemik.

Miskin

Dalam situasi itu, tiga golongan yang mudah menjadi miskin ialah ibu tunggal yang kebanyakannya berniaga kecil-kecilan, kanak-kanak yang hidup dalam keluarga tidak mempunyai pendapatan tetap dan orang kurang upaya (OKU).

Hasil kajian yang dilakukan sebuah universiti tempatan terhadap golongan ibu tunggal di Malaysia mendapati kebanyakan mereka hanya mempunyai simpanan sekitar RM300, manakala golongan OKU hanya ada simpanan sekitar RM70.

Kerajaan juga mengakui berlaku peningkatan dalam jumlah rakyat Malaysia yang jatuh miskin kesan Covid-19 dengan kadar kemiskinan negara meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020.

Walaupun kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat tetapi ia masih tidak mencukupi. Ramai rakyat sengsara kerana mereka tidak boleh bekerja dan berniaga.

Mereka yang sebelum ini dalam golongan berpendapatan tinggi (T20), sebahagiannya tergelincir ke dalam kumpulan berpendapatan sederhana (M40), manakala sebahagian kumpulan M40 pula menjadi kumpulan berpendapatan rendah (B40).Terbaharu, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) melaporkan lebih 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan M40 terjerumus ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.

Krisis Covid-19 nyata memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia.

Tahun lalu menyaksikan lebih 800,000 individu kehilangan kerja dan 2.8 juta lagi rakyat berisiko hilang pekerjaan susulan Sekatan Pergerakan Penuh sejak 1 Jun lalu.

Krisis ini sebenarnya sangat bergantung kepada kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sekiranya program vaksinasi berjaya mencapai imuniti kelompok dengan kadar 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin, semua aktiviti ekonomi dan sosial dapat dijalankan semula seperti biasa dan krisis ekonomi mampu dipulihkan.

Keadaan itu boleh dicapai andainya 26 juta rakyat Malaysia mendapatkan suntikan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

Ia terbukti di beberapa negara yang sudah berjaya menjalankan program vaksinasi seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hungary. Kadar kes positif harian Covid-19 mereka turun mendadak, begitu juga kadar kematian yang berkurang.

Situasi positif itu turut membantu merancakkan semula ekonomi negara sekali gus menghidupkan semula periuk nasi rakyat.

* Arney Syema Anua ialah Web Editor Sinar Online


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!