Suu Kyi masih belum mahu kibar 'bendera putih'

Ketua parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP
Ketua parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP
A
A
A

KETUA parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-76 tahun pada 19 Jun lalu ketika beliau masih berada dalam tahanan di rumah.

Bekas Penasihat Negara itu sebelum ini berada dalam tahanan di rumahnya di Naypyidaw sejak 1 Februari lalu selepas tentera negara berkenaan melakukan rampasan kuasa secara aman.

Beberapa pemimpin NLD turut ditangkap dalam rampasan kuasa itu seperti bekas Presiden Myanmar, Win Myint dalam satu siri serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

Rampasan kuasa itu diadakan selepas pihak tentera menuduh berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum pada November tahun lalu yang menyaksikan parti NLD mencapai kemenangan besar.

Bagaimanapun, pihak tentera mendakwa rampasan kuasa yang dilakukannya itu adalah sah di sisi undang-undang tetapi ia mencetuskan ketidakstabilan apabila ramai orang awam menentangnya sehingga mengakibatkan hampir 1,000 orang terkorban dalam siri tunjuk perasaan antirampasan kuasa.

Pihak tentera yang turut dikenali sebagai Tatmadaw berjanji akan menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih menerusi pilihan raya yang bersih dalam tempoh dua tahun selepas ia merampas kuasa.

Simbolik bunga di rambut

Ekoran rampasan kuasa tersebut, beberapa pertempuran baharu turut berlaku antara pihak tentera dengan anggota-anggota pemberontak yang terdiri dalam kalangan etnik monoriti di Myanmar di sempadan negara tersebut baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera itu dikutuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara di Barat manakala negara ASEAN telah mengetuai usaha diplomatik dengan menghantar wakilnya ke Myanmar bagi menyelesaikan krisis tersebut baru-baru ini.

Selepas rampasan kuasa tersebut, Suu Kyi dihadapkan ke mahkamah menerusi satu siri tuduhan jenayah yang boleh menyebabkan beliau dipenjarakan sekali gus menamatkan karier politiknya.

Pada Isnin lalu pemimpin NLD itu dibicarakan kerana didakwa mengimport walkie-talkie untuk kegunaan para pengawal peribadinya, menggunakan radio tanpa lesen, menyebarkan maklumat salah yang boleh mencetuskan ketidakstbilan negara dan melanggar sekatan pandemik Covid-19 semasa pilihan raya umum pada November lalu.

Walaupun Suu Kyi dibebaskan daripada sabitan kesalahan itu, beliau turut berdepan satu dakwaan serius iaitu melanggar akta rahsia negara yang menyebabkan beliau dihukum penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.

Sejumlah penunjuk perasaan meraikan hari ulang tahun kelahiran ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke-76 yang masih ditahan oleh tentera di Yangon pada Sabtu lalu. - Foto AFP
Sejumlah penunjuk perasaan meraikan hari ulang tahun kelahiran ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke-76 yang masih ditahan oleh tentera di Yangon pada Sabtu lalu. - Foto AFP

Ikon demokrasi Myanmar itu turut berdepan dakwaan menerima rasuah dan jika sabit kesalahan boleh mengakibatkannya dihukum penjara maksimum sehingga 15 tahun.

Pada perbicaraan pada Isnin lalu itu, seorang peguamnya, Min Min Soe berkata, selepas sesi mahkamah selesai bahawa Suu Kyi mendengar keseluruhan proses pendengaran dan memberitahu bahawa beberapa testimoni yang dikemukaan terhadapnya adalah salah.

Seorang lagi peguam belanya, Kyi Win dilaporkan memberitahu, polis dan seorang pegawai tempatan yang terlibat dengan dakwaan Suu Kyi melanggar peraturan kawalan Covid-19 dan penggunaan walkie-talkie telah memberikan testimoni pada Isnin lalu.

Win berkata, seorang pegawai tentera berpangkat kapten memberikan testimoni mengenai pengimportan radio dan hanya memberikan beberapa maklumat sahaja apabila beliau disoal di mahkamah.

Dalam pada itu, Soe berkata, semasa pertemuan selama setengah jam dengan pasukan peguam belanya sebelum perbicaraan diadakan pada Isnin lalu, Suu Kyi menyuarakan penghargaannya kepada orang awam yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-76 pada Sabtu lalu.

Pada Sabtu lalu, para penunjuk perasaan antikerajaan dan askar-askar pemberontak menyelitkan bunga pada rambut serta telinga mereka bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran pemimpin NLD itu di Yangon dan di negeri Karen.

Bunga merupakan perhiasan yang sering dipakai oleh Suu Kyi pada rambutnya sehingga menjadi salah satu identiti dirinya.

Pada hujung bulan lalu, ketika muncul di mahkamah, Suu Kyi menegaskan partinya NLD akan meneruskan perjuangannya selagi rakyat Myanmar wujud di negara tersebut.

Komen itu dibuat selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya baharu negara tersebut yang dilantik pihak tentera iaitu Thein Soe dilaporkan akan menimbangkan sama ada parti pimpinan Suu Kyi itu patut dibubarkan.

Ini adalah kerana satu siasatan yang masih belum lengkap menunjukkan NLD telah bekerjasama secara haram dengan kerajaan yang memerintah ketika itu bagi memberikan kemenangan kepada parti pimpinannya. - Agensi