Desakan 14 hari Parlimen bersidang hormati pandangan Agong

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO dan Pas bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak agar kerajaan mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang segera.

Menurut mereka, gesaan itu bagi mentaati dan menghormati pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, tidak timbul isu desakan UMNO agar kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula Isnin.

Sebaliknya, katanya, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Isu sama ada 14 hari atau berapa hari (untuk buka Parlimen) itu mungkin kita tidak boleh bagi masa yang tepat (kepada kerajaan). Sebab ia berkait dengan undang-undang dan peraturan sekiranya mahu membuka Parlimen.

“Tetapi faktanya di sini, Presiden UMNO yang keluarkan kenyataan itu meminta supaya kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong itu.

“Tak usah persoalkan tempoh 14 hari itu. Ambil fakta yang kita mahu supaya Parlimen dibuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Othman berkata, pembukaan Parlimen merupakan isu rakyat menyebabkan Yang di-Pertuan Agong bertitah agar Parlimen dibuka secepat mungkin untuk membincangkan masalah dihadapi rakyat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau bimbang sekiranya Parlimen dibuka, tetapi isu rakyat dan negara tidak dibincangkan, sebaliknya dijadikan platform untuk membawa agenda parti masing-masing.

“Jangan nanti Parlimen dibuka, kita bincang nak jatuhkan kerajaan, siapa nak jadi perdana menteri dan bawa sentimen parti masing-masing. Akhirnya hak rakyat tidak jadi untuk dibincangkan.

“Ini akan membuatkan rakyat meluat. Kalau datang ke Parlimen dengan idea, semak dan imbang untuk rakyat, silakan.

“Bukan bincang nak jawatan, nak berebut atau bincang jatuhkan kerajaan serta perkara tidak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Assibiqun (veteran) Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut pula berpendapat, Parlimen perlu bersidang segera kerana banyak isu rakyat yang harus dibincang dan diselesaikan pada masa ini.

“Saya bersetuju Parlimen dibuka dan bersidang semula. Banyak isu nak dibincangkan dan Parlimen tempat paling sesuai kerana ia mewakili rakyat.“Jadi sepatutnya kena bersidang, tidak perlu tunggu lama. Tapi tidak semestinya mengikut (ketetapan) UMNO. Sekurang-kurangnya persidangan itu perlu dibuat sebab tempohnya (sudah lama tidak bersidang),” katanya.

Tambah beliau, berikutan ancaman pandemik Covid-19, semua pihak perlu membuat persediaan sebelum Parlimen dibuka supaya tidak timbul masalah kerana pergerakan yang terbatas.