Cemas berlumba dengan masa

Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara bermula 9 Jun hingga 15 Jun lalu.

Ia susulan daripada surat secara peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta perkenan Seri Paduka campur tangan dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat.

Susulan sesi menghadap itu, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh pemimpin parti politik berkenaan diwasilkan pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang telah bermesyuarat memutuskan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pemimpin-pemimpin pembangkang segera membuat telahan bahawa Yang di-Pertuan Agong mahukan sidang Parlimen diadakan pada Ogos kerana proklamasi darurat yang diisytiharkan Januari lalu mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos.

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat tafsiran bahawa Seri Paduka tidak menyatakan secara spesifik mengenai tarikh sidang Parlimen, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh beliau derhaka. Lantas, satu laporan polis segera dibuat ke atas Takiyuddin.

Dalam pada itu tular semula gosip liar mengenai jajaran baharu politik yang mendakwa sebilangan pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan beralih arah, membuat undi tidak percaya pada sidang Parlimen dan seterusnya mengakibatkan ia dibubar dan pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Pada petang 15 Jun, sehari sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara.

Ia adalah pelan terperinci tentang fasa-fasa hingga membawa penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah jumlah rakyat yang menerima vaksinasi mencapai 80 peratus menjelang November 2021.

Artikel Berkaitan:

Banyak pihak khususnya dalam kalangan industri tidak setuju dengan pelan yang dikatakan terlalu lembap itu.

Tempoh lima hingga enam bulan sudah cukup untuk melumpuhkan lagi banyak perniagaan, khususnya sektor kecil dan sederhana.

Ramai yang bakal hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan akan jatuh miskin.

Pihak kerajaan nampaknya tiada pilihan, melainkan meneruskan pelan pemulihan, di samping mengintai peluang sekiranya ada jalan untuk mereka mendapat bekalan vaksin yang banyak daripada sumber lain agar imuniti kelompok dicapai lebih awal dari November.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah beberapa kali meminta kefahaman umum bahawa kelewatan program imunisasi adalah kerana kelambatan menerima vaksin seperti yang diingini kerana negara-negara besar seperti Amerika dan Eropah telah merebut dahulu bekalan.

Mahu tidak mahu, kita kena akui bahawa kita terperangkap dengan situasi.

Pihak kerajaan sedang berlumba dengan masa. Kelewatan rakyat menerima suntikan vaksin bermakna Covid-19 masih boleh bermaharajalela dan meningkatkan angka jangkitan.

Ia juga akan melumpuhkan ekonomi. Tanpa pendapatan, apa nak makan? Bagaimana hendak memberi subsidi bantuan kepada rakyat jika dana semakin kontang?

Musuh-musuh politik sedang menggunakan isu itu untuk menggambarkan kerajaan tidak cekap. Inilah yang ditiup dan diapi-apikan.

Namun, katakanlah sidang Parlimen diadakan pada Ogos, apakah mudah Perdana Menteri mendapat undi tidak percaya?

Seandainya berlaku dan Dewan Rakyat dibubar untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15, berapa ramaikah rakyat yang berani turun untuk mengundi? Meskipun yang turun mengundi begitu kecil pun, yang menang akan tetap menang dan memerintah.

Namun, apakah PRU secara paksa kepada rakyat akan menerima restu mereka? Jika kerajaan PN dikatakan kerajaan tebuk atap, kerajaan yang menang nanti, kerajaan tebuk apa?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian