Institusi raja perlu dipelihara

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
A
A
A

BANYAK yang diperkatakan mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen selepas keluarnya kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada 16 Jun lalu.

Ramai dalam kalangan rakyat jelata memuji Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu atas keprihatinan terhadap kemaslahatan negara serta kelangsungan hidup rakyat yang terjejas ekoran penularan Covid-19 seperti yang terzahir dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada tarikh tersebut.

Kenyataan media itu juga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik, ahli akademik, peguam dan masyarakat, khususnya berhubung dengan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan bahawa tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Menyusulinya adalah pandangan sesetengah pihak bahawa dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Seri Paduka tidak lagi terikat dengan nasihat.

Kononnya, termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen di mana ia dikatakan termaktub dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka.

Dihujahkan juga bahawa dalam tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan kuasa prerogatif Seri Paduka untuk menggubal Ordinan Darurat bagi menggantung Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Seri Paduka menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Namun, kita perlu bersyukur kerana masih ada dalam negara kita tokoh-tokoh perundangan seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu A Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang bersuara membetulkan keadaan.

Segera diingatkan oleh Tun Abdul Hamid dan Dr Shamrahayu supaya Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi berkenaan untuk melakukan perkara di luar bidang kuasa baginda-baginda semua.Budi bicara

Artikel Berkaitan:

Dijelaskan oleh mereka berdua bahawa baginda-baginda semua perlu senantiasa waspada bahawa mereka ialah Raja Berperlembagaan, dan sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong khususnya hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, jemaah menteri dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Seri Paduka.

Adalah satu fakta jelas bahawa mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong ialah Peguam Negara dan Seri Paduka akan berdepan dengan kesukaran jika Seri Paduka membelakangkan nasihat Peguam Negara serta menerima pakai nasihat orang lain, walaupun mereka pakar perlembagaan sekali pun.

Walaupun kuasa untuk membuat proklamasi darurat dan memasyhurkan Ordinan Darurat telah diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, ia tidak mengubah kedudukan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan. Perkara itu telah dijelaskan dalam kes N Madhavan Nair v. Government of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di mana mahkamah memutuskan:

“Undang-undang darurat yang memindahkan kuasa perundangan daripada Parlimen ke Yang di-Pertuan Agong tidak menjejaskan kedudukan Seri Paduka sebagai Raja Berperlembagaan, terikat dengan perlembagaan untuk bertindak pada setiap masa atas nasihat jemaah menteri.”

Bukan niat perlembagaan untuk memberikan kuasa tanpa had kepada Yang di-Pertuan Agong semasa darurat kerana jika itu berlaku, ia akan meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan yang boleh mendedahkannya kepada pertikaian. Dalam hal mengenai pengisytiharan darurat, soal mengenai ‘puas hati’ Seri Paduka tidak boleh dicabar di mahkamah.

Begitupun, keputusan jemaah menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membuat pengisytiharan darurat dibenarkan pula untuk dicabar di mahkamah. Ia bermakna di sini ada penampan (buffer) untuk melindungi Seri Paduka daripada pertikaian jika ada pihak tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan yang dibuat Seri Paduka.

Jika Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan sendiri dalam hal-hal urusan pentadbiran harian kerajaan, maka pihak yang akan dicabar ialah Seri Paduka sendiri dan ia sudah semestinya akan merendahkan institusi raja.

Pelik

Apabila kuasa eksekutif dijalankan oleh jemaah menteri, jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusannya, maka jemaah menteri bukan sahaja boleh dicabar di mahkamah tetapi juga di peti undi.

Niat, semangat dan apa yang terzahir dalam perlembagaan itu telah elok dan cantik serta tidak perlu dirosakkan dengan tafsiran pelik. Pihak-pihak yang mengemukakan tafsiran pelik begini termasuk bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menggantung mana-mana peruntukan perlembagaan dalam tempoh darurat, sebenarnya meletakkan institusi dalam situasi bahaya.

Tujuan penggantungan Parlimen dibuat hanyalah untuk memudahkan Ordinan Darurat yang diperlukan bagi mengurus pandemik Covid-19 diluluskan segera tanpa perlu melalui proses Parlimen yang panjang, itu sahaja.

Jika tafsiran bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh darurat diguna pakai, maka pastilah tafsiran bahawa Seri Paduka juga mempunyai kuasa mutlak membubarkan Parlimen turut perlu diguna pakai.

Untuk merungkai kekusutan yang timbul, ada baiknya kita merenung kembali Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan yang dibuat Raja-Raja Melayu pada 4 Julai 1992 bahawa: “Kita akan bertindak atas nasihat” dan “Kita selaras dengan amalan perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri”.

Selaras dengan itu, adalah lebih bijaksana untuk pihak istana tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi. Kenyataan seperti persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin telah menimbulkan banyak polemik kerana ia hal politik. Jika yang tidak bersetuju bersuara, pastilah ia akan mendedahkan institusi diraja kepada kritikan.

Bukannya tidak boleh Raja-Raja Melayu menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara atau mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri tetapi biarlah ia dilakukan secara tertib dan rasmi mengikut prosedur dan peruntukan perlembagaan di mana Perkara 38 (2) Perlembagaan menggariskan bahawa antara fungsi Majlis Raja-Raja adalah untuk: “Menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.”

Kita yakin bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai niat untuk tidak akur dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Kita juga percaya bahawa baginda-baginda semua ikhlas menzahirkan titah pandangan, cuma jika ia dilakukan secara tertib dan rasmi, pastilah tiada pihak boleh menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

* Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan