X

Kindly register in order to view this article
!

'Raja Penyeludup' jadi jutawan

A
A

KLANG - Sindiket penyeludupan rokok dikesan menggunakan persisiran pantai di negeri ini bagi membawa masuk barangan yang diseludup dari negara jiran.

Ini berlaku disebabkan permintaan tinggi rokok seludup yang dijual jauh lebih murah di negara ini.

Sumber memberitahu Sinar Harian, sindiket penyeludupan terbesar itu mempunyai rangkaian yang dipimpin oleh ketuanya yang dikenali sebagai ‘Jimmy’.

“Mereka menjadikan persisiran pantai di Kapar, Klang; Pantai Morib, Banting dan Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai lokasi membawa masuk barang seludup melalui tekong bot yang diupah dengan bayaran lumayan.

“Ketua sindiket ini kini mendapat gelaran ‘King Of Smuggler’ atau Raja Penyeludup berikutan keupayaan membawa masuk barang seludup terutama rokok murah dalam kuantiti yang besar dan mendapat permintaan tinggi di negara ini,” kata sumber itu.

Kumpulan Jimmy dipercayai terlibat aktif menyeludup rokok sejak lima tahun lalu iaitu bermula tahun 2016 hingga kini.

Menurutnya, setiap tekong bot akan dibayar bermula daripada harga RM5,000 hingga RM10,000 dan jumlah itu boleh bertambah bergantung kepada jumlah trip dan rokok yang dapat diseludup masuk.

Malah, lebih menyakinkan, sindiket tersebut mempunyai teknologi dan kepakaran menggunakan pelbagai peralatan termasuk sistem pengesanan global (GPS) bagi mengatur persediaan dan kedudukan mereka untuk berada di luar perairan negara ini.

Sindiket penyeludup rokok itu juga bijak merancang dan tahu selok-belok perairan negara, malah cepat menghidu kehadiran pihak berkuasa sama ada melalui rondaan rutin mahu mahupun operasi.

“Mereka yang bekerja di bawah ‘King Jimmy’ mempunyai kepakaran termasuk hubungan dengan sindiket-sindiket penyeludupan lain yang turut berkongsi apa jua maklumat mengenai pergerakan pihak berkuasa,” katanya.

Punggah rokok di tengah laut

Menurut sumber itu, jika persisiran pantai tidak selamat untuk tekong bot mendaratkan barangan, mereka akan menukar taktik dengan memunggah barangan seludup di luar perairan negara.

“Mereka akan memindahkan segera barangan ke atas kapal kargo dan kapal-kapal kargo ini akan mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) sebagai 'insurans', malah pengendali kapal kargo turut memadamkan rekod perjalanan buku log mereka.

“Langkah ini diambil bagi mengelakkan dari tindakan undang-undang, malah mereka akan menggunakan apa jua jenis pengangkutan asalkan barangan dapat diseludup masuk.

"Begitu juga di sebaliknya, bot besar akan membawa bekalan rokok seludup dari negara jiran sebelum rokok-rokok itu dipunggah ke dalam bot-bot kecil untuk dibawa ke persisiran pantai.

“Antara jenama rokok seludup yang dibawa masuk ialah jenama Dblend, John, Canyon, Zon King, Tex dan U2,” katanya.

Luas empayar seludup ke Johor

Jimmy juga dikatakan mempunyai orang-orang kanan yang setia dan ia terbukti apabila aktiviti penyeludupan rokok menjadikan dia tidak ubah seperti seorang jutawan.

“Ya, dia mempunyai wang yang banyak. Dia hanya arah sahaja dan semua orang akan buat kerja tanpa banyak cakap,” katanya sumber itu.

Sementara itu, menurut sumber lain, mereka yang menjalankan kerja penyeludupan itu turut dibekalkan dengan senjata api bagi mempertahankan diri sekiranya terdapat sebarang ancaman daripada sindiket lain yang turut berebut mahu menguasai pasaran rokok seludup di negara ini.

“Bagi mengelakkan pertelagahan antara kumpulan penyeludup, Jimmy cuba menggabungkan semua sindiket di bawah ‘payungnya’ dan ternyata usaha itu menjadikan dia kini lebih berpengaruh,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!