G12: Tempoh khidmat presiden PSM hanya empat penggal

Zuraidin Abdullah (tengah) melihat beita-berita utama mengenai PSM dalam talian.
Zuraidin Abdullah (tengah) melihat beita-berita utama mengenai PSM dalam talian.
A
A
A

GABUNGAN persatuan negeri yang keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atau lebih dikenali sebagai G-12 giat membincangkan beberapa pembaharuan dan penambaikan bagi memastikan sukan tradisi tersebut terus gah masa akan datang.

Jurucakap G12, Zuraidin Abdullah berkata, pihaknya telah merangka beberapa fokus utama yang dilihat perlu ditambahbaik terutamanya melibatkan pengurusan PSM.

“Ia melibatkan bahagian pengurusan sehingga ke peringkat perancangan jangka masa panjang. Kita memfokuskan beberapa penambahbaikan antaranya ialah cadangan untuk menghadkan tempoh antara tiga hingga empat penggal sahaja bagi jawatan Presiden PSM.

“Kami berpandangan tempoh tersebut adalah sesuai untuk seseorang presiden menggalas jawatan berkenaan selari dengan perancangan jangka masa panjang untuk setiap empat tahun,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan merancang program-program pembangunan bagi memastikan sukan tersebut dapat menghasilkan pelapis-pelapis yang berkualiti.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) itu juga berkata, G12 telah beberapa kali duduk semeja dengan PSM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan hala tuju PSM terutamanya melibatkan beberapa keutamaan yang perlu ditambah baik.

“Kita juga turut menyelaraskan kelab-kelab penyokong dan peminat berada di bawah negeri masing-masing, bukanya secara terus di bawah PSM.

“Selain itu, kita juga mahu PSM dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu terutamanya korporat, penajaan dan intergriti yang menjadi fokus utama kita ketika ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: