Perlu segera lulus Akta Gangguan Seksual

Haniza Mohd Talha
Haniza Mohd Talha
A
A
A

MELAKA TENGAH - Wanita PKR menyarankan kerajaan segera menggubal Akta Gangguan Seksual bagi membendung jenayah itu terutama di tempat kerja.

Ketuanya, Haniza Mohd Talha, berkata, akta berkenaan penting memandangkan terdapat banyak laporan kes gangguan seksual yang melibatkan mangsa majoritinya wanita sekali gus dapat mempertingkatkan perundangan serta peraturan sedia ada berhubung gejala gangguan seksual.

"Gangguan seksual yang berlaku di negara ini tidak hanya berbentuk fizikal malah termasuk dari segi lisan, perbuatan dan sebagainya hingga memberi kesan negatif kepada kehidupan mangsa dari segi emos.

"Kerana itu penting untuk kerajaan meluluskan segera satu akta gangguan seksual yang belum lagi diwujudkan. Kita harap akan ada satu tindakan jelas yang boleh membantu melindungi mangsa iaitu wanita daripada gangguan seksual di tempat kerja," katanya.

Haniza berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) pada Konvensyen Wanita Keadilan Zon Selatan 2019 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR Melaka, Ginie Lim Siew Lim; Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani dan Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlinah Zamil.

Haniza yang juga ADUN Taman Medan berkata, biarpun kerajaan sering mengadakan kempen-kempen berkaitan keganasan wanita namun usaha memberi kesedaran berhubung isu itu perlu terus dimainkan semua pihak termasuk wanita PKR sehingga bilangan kes keganasan di negara ini menunjukkan penurunan.

"Kempen dilancarkan juga dapat mewujudkan kesedaran bahawa keganasan terhadap wanita adalah satu pelanggaran hak asasi manusia dan suatu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Penting juga kesedaran kerana ada wanita dah buat laporan dan kemudian menarik semula.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu bagi penjelasan kepada mereka dan mereka tak perlu rasa khuatir keselamatan mereka. Kita akan menyediakan kit berisi pelbagai maklumat dan risalah untuk Wanita PKR Zon Selatan menyampaikan kesedaran kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, lebih 300 wanita PKR Zon Selatan hadir memeriahkan konvensyen berkenaan.