Bukti keyakinan terhadap usaha vaksinasi dan daya tahan ekonomi negara

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh S&P Global Ratings (S&P) membuktikan kekukuhan kedudukan sektor luaran negara, dasar monetari yang fleksibel serta keupayaan kerajaan untuk terus menyokong kemampanan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan ekonomi dalam persekitaran yang tidak menentu, kata Kementerian Kewangan.

S&P mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan ringgit pada A, dengan prospek negatif.

“Ini juga mencerminkan keyakinan S&P terhadap pentadbiran negara ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana sekitar 20 peratus daripada negara yang diberikan prospek negatif pada akhir 2020 telah disusuli dengan tindakan penurunan penarafan oleh tiga agensi penarafan utama setakat ini,” kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada Selasa.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merangkumi empat fasa bagi membolehkan negara bebas daripada kemelut pandemik Covid-19.

Pelan tersebut yang berpandukan kepada purata kes harian baharu Covid-19, tahap penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan peratus populasi yang divaksinasi sepenuhnya, akan membolehkan rakyat, perniagaan dan pelabur membuat perancangan sewajarnya apabila Malaysia beralih daripada satu fasa ke fasa seterusnya

“Ini memberikan kepastian dan kejelasan khususnya kepada sektor ekonomi dan sosial yang akan dibenarkan beroperasi semula apabila nilai ambang tertentu dicapai.

“S&P menyatakan bahawa sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1 Jun 2021, penularan kes semakin terkawal dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, dan ekonomi Malaysia berkemungkinan besar pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun tahun ini, hasil daripada strategi kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara beransur-ansur, “ kata Tengku Zafrul.

Sehingga kini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian baharu daripada 8,000 hingga sekitar 5,000 kes sehari dan mengekalkan nisbah kes kematian kurang dari 0.6 peratus serta kadar kesembuhan lebih daripada 85 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata dalam usaha memperkukuh prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM380 bilion sejak bermulanya pandemik, selain belanjawan tahunan berjumlah RM322.5 bilion bagi 2021.

Antara langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej berkenaan, sekurang-kurangnya RM300 bilion jumlah peruntukan bagi pelbagai inisiatif masih dalam diteruskan, dan ini akan menyokong pemulihan ekonomi terutama sepanjang fasa-fasa PPN, katanya.

“Bagi jangka sederhana, kerajaan kekal komited dalam melakukan pembaharuan struktur berterusan untuk mempertingkatkan potensi pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuk pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan pendapatan lebih baik,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, momentum pemulihan pertumbuhan ekonomi PPN dipacu oleh keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pencapaian sasaran nilai ambang PPN untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.

Sehingga kini, Malaysia telah mencapai purata suntikan vaksin lebih 160,000 dos sehari dan dijangka meningkat kepada 400,000 dos sehari pada Ogos 2021, justeru, pada kadar ini, sasaran vaksinasi penuh akan dicapai bagi 60 peratus populasi menjelang akhir Oktober 2021.

“Faktor lain yang akan memacu pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luaran daripada rakan dagang utama, serta kepelbagaian ekonomi dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi,” katanya.

Khususnya dengan S&P mengakui sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang maju terus berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada lonjakan permintaan global dan peningkatan teknologi baharu global, seterusnya akan menyokong eksport bagi tempoh dua tahun akan datang, katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga kekal komited kepada pengukuhan fiskal jangka sederhana di samping memastikan kemapanan fiskal negara.

Berpandukan Rangka Fiskal Kerja Fiskal Jangka Sederhana, defisit fiskal enam peratus yang disasarkan pada tahun ini diunjur berkurangan kepada purata 4.5 peratus pada 2021 hingga 2023 dengan jangkaan harga minyak mentah lebih tinggi serta keperluan sokongan fiskal yang berkurangan seiring dengan pemulihan pandemik Covid-19.

Menurut Tengku Zafrul, kekuatan penarafan Malaysia itu turut diperkukuh oleh kedudukan kredit yang teguh, disokong oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan serta pasaran bon domestik yang maju.

Pada masa sama, Malaysia juga secara konsisten mencatat lebihan akaun semasa dalam tempoh dua dekad lepas dengan lebihan dagangan terbesar sebanyak RM184.8 bilion pada 2020 atau menyamai 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77 peratus daripada KDNK pada akhir Mac 2021.

“Faktor ini mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk membendung kejutan luaran, disokong oleh pentadbiran kadar tukaran asing berasaskan apungan” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kedudukan luaran Malaysia yang berdaya tahan itu diperkukuh oleh pasaran bon tempatan yang berkecairan tinggi dan mendalam, berserta permintaan luaran yang memberangsangkan terhadap kertas terbitan kerajaan pasaran.

“Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam senarai Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE Russell membuktikan kemajuan pasaran modal negara serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa secara keseluruhan, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara tetap kukuh dalam jangka masa sederhana hingga panjang dengan berpandukan PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemat.

“Peningkatan usaha langkah-langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara berfasa dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang apabila ekonomi menunjukkan lebih banyak tanda-tanda pemulihan.

“Ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kelangsungan fiskal dan ekonomi jangka panjang.

“Kerajaan akan terus bertindak secara strategik, proaktif dan tegas dalam tempoh Covid-19 yang mencabar ini bagi memastikan kesan kekal pandemik ini kepada ekonomi dapat dibendung,” katanya. - Bernama