Adik Jong-un dakwa AS 'syok sendiri'

Yo-jong (kanan) merupakan penasihat utama kepada abangnya, Jong-un. - Foto Agensi
Yo-jong (kanan) merupakan penasihat utama kepada abangnya, Jong-un. - Foto Agensi
A
A
A

PYONGYANG - 'Amerika Syarikat (AS) membuat tanggapan yang salah tentang dialog bersama Korea Utara'.

Kenyataan itu dikeluarkan Kim Yo-jong yang merupakan adik pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un pada Selasa selepas Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan mendakwa reaksi pertama abangnya terhadap pendekatan Washington dilihat sebagai 'isyarat positif'.

Penasihat utama Jong-un itu juga menolak kemungkinan untuk menyambung semula rundingan yang tertangguh di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump.

"AS seakan-akan syok sendiri. Mereka meletakkan harapan dengan cara salah yang akan menyebabkan kekecewaan lebih besar," lapor agensi berita KCNA memetik kenyataannya.

Sebelum ini, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden telah berjanji untuk menggunakan pendekatan praktikal termasuk usaha diplomatik bagi 'memujuk' Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear dan misil balistik.

Sebagai respons, Jong-un dengan nada sinis berkata, Pyongyang perlu bersiap-sedia untuk menghadapi konfrontasi dan dialog bersama Washington.

Pada Isnin, diplomat AS, Sung Kim yang mengendalikan rundingan bersama Korea Utara menyatakan Washington kononnya sedia bertemu Pyongyang di mana sahaja dan pada bila-bila masa tanpa prasyarat.

Beliau turut menggesa anggota Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan resolusi secara penuh ke atas Korea Utara yang akan mengehadkan import minyak dan eksport arang batu, tekstil dan makanan laut negara itu.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir minggu lalu, Pyongyang mengakui ia kini sedang berusaha menangani krisis makanan bagi mengelakkan bencana kebuluran pada 1990-an yang meragut ratusan ribu nyawa daripada kembali berulang. - AFP