X

Kindly register in order to view this article
!

Thailand: 8 juta sudah terima dos vaksin Covid-19

A
A

BANGKOK - Seramai 7,906,696 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 di Thailand.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, setakat Isnin seramai 2,227,848 individu sudah mendapat dos yang lengkap.

Menurut beliau, setakat ini 5,678,848 individu menerima dos pertama vaksin sejak kempen vaksinasi dilancarkan pada 28 Februari.

"Kami menyasarkan untuk memvaksin 10 juta orang pada akhir bulan ini," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Selasa.

Thailand memperhebat kempen vaksinasinya di tengah-tengah rancangan negara ini untuk membuka semula pintunya kepada pelancong yang sudah lengkap divaksin, menjelang pertengahan Oktober.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri menyatakan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Selasa meluluskan syor pembukaan semula pulau peranginan Phuket bermula 1 Julai di bawah program 'Phuket Sandbox'

Anucha berkata, kabinet juga meluluskan cadangan membuka semula pulau seperti Koh Samui, Koh Phang Nga dan Koh Tao di bawah pelan 'Samui Plus', mulai 15 Julai.

Dalam usaha memulihkan semula industri pelancongannya yang terjejas akibat Covid-19, Thailand melancarkan 'Phuket Sandbox' dan 'Samui Plus' untuk menyambut ketibaan pelancong lengkap divaksin, dari negara berisiko rendah dan sederhana tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 4,059 kes baharu Covid-19 dan 35 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. Secara keseluruhan negara ini sudah mencatatkan 225,365 kes dan 1,693 kematian.

Daripada 4,059 kes baharu, Taweesin menyatakan 4,038 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,706 melalui pengesanan kes aktif. Jumlah itu turut melibatkan 75 banduan, 21 kes import, termasuk 14 rakyat tempatan yang menyelinap masuk dari Kemboja.

Kematian baharu melibatkan 25 lelaki dan 10 wanita berusia antara 28 dan 94 tahun, termasuk masing-masing satu warga Myanmar dan warga Laos.

Tambahnya, sebanyak 15 kematian di Bangkok, enam di Samut Sakhon, lima di Samut Prakan, dua di Chachoengsao dan masing-masing satu di Chon Buri, Nonthaburi, Nakhon Si Thammarat, Ayutthaya, Phuket, Suphan Buri dan Udon Thani

"Tiga kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Bangkok sepanjang 24 jam lalu, menjadikan terdapat 94 kluster di ibu negara, setakat ini," katanya.

Di Pattani, kerajaan daerah mendirikan enam hospital medan dengan 762 katil berikutan peningkatan kes di wilayah itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!