Kilang plastik dikompaun salah guna surat MITI

Pemeriksaan pematuhan SOP PKP 3.0 di kilang memproses barangan plastik di Taman Kerapu, Georgetown pada Selasa.
Pemeriksaan pematuhan SOP PKP 3.0 di kilang memproses barangan plastik di Taman Kerapu, Georgetown pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah kilang menghasilkan barangan plastik di Taman Kerapu di sini dikompaun RM10,000 kerana menyalahgunakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesalahan itu dikesan dalam Ops Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP 3.0 bersama beberapa agensi penguat kuasa lain di sekitar daerah ini bermula jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, ketika diperiksa, kilang terbabit menunjukkan surat kelulusan MITI bagi pengeluaran barangan plastik untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, kilang berkenaan sebenarnya mengeluarkan barangan plastik yang bukan untuk tujuan perubatan.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan juga mendapati pemilik kilang berkenaan gagal memastikan dua pekerja warga Indonesia mengimbas kod QR MySejahtera. Bagi kesalahan itu, pemilik kilang terbabit dikompaun lagi RM10,000.

"Semakan dibuat kedua-dua lelaki warga asing itu mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Noorzainy berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengeluarkan dua kompaun ke atas pemilik kilang terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen pejabat urusan dan gudang tidak dilesenkan.

Sementara itu, dalam pemeriksaan kedua di sebuah kilang di Jalan Siram di sini, Noorzainy berkata, tiada pelanggaran SOP yang dikesan, namun pihak MBSP mengeluarkan kompaun atas kesalahan sama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang turut bersama dalam operasi berkenaan juga mengesan kesalahan kilang terbabit yang gagal mempamerkan nama syarikat dan nombor pendaftaran di tempat operasi mereka.