X

Kindly register in order to view this article
!

Astro terus kukuh walaupun PKP masih berkuat kuasa

Gambar dari kiri: Zaki Azmi, Henry Tan
A
A

SHAH ALAM - Astro tetap memperlihatkan pemulihan kukuh pada suku tahun pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (Q1FY22) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, syarikat penyedia kandungan dan hiburan itu akan terus menjana pendapatan tunai dan mengawal kos kewangan secara berdisiplin serta sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.

“Justeru, pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim pertama bernilai 1.5 sen sesaham,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, FY22 menjanjikan tahun yang penuh dengan aksi-aksi terhebat dengan melaksanakan strategi yang dirancang syarikat terbabit.

Jelas beliau, pada bulan Jun, Astro memperkenalkan dua platform perkhidmatan penstriman iaitu Sooka berkaitan acara sukan berprestij secara langsung dan program-program tempatan selain Disney+ Hotstar menawarkan kandungan menarik pada nilai yang amat berpatutan.

“Pelanggan boleh menantikan lebih banyak program-program terbaik sebagai sebahagian dari usaha kami untuk menjadi pengagregat perkhidmatan penstriman nombor satu negara.

“Sehingga hari ini, Ultra dan Ulti Box kami telah berada di lebih daripada 300,000 rumah dan menawarkan pengalaman tontonan terhebat buat pelanggan.

“Dalam pada itu, Astro GO terus mempertingkatkan perkhidmatannya menerusi pra-akses dan ciri-ciri muat turun telah merekodkan sebanyak 1.4 juta pengguna aktif pada setiap bulan dengan kadar purata tontonan selama 213 minit pada setiap minggu.

“Manakala jumlah tontonan video di platform On Demand yang distrim pelanggan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 100 juta,” katanya.

Menurut Henry, perkhidmatan jalur lebar terus merekodkan pertumbuhan lebih daripada 80 peratus dari tahun ke tahun apabila pelanggan menggabungkan pakej itu bersama kandungan yang ditawarkan untuk mendapat lebih nilai serta memudahkan urusan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, Adex memperlihatkan pertumbuhan sebanyak 21 peratus dari tahun ke tahun kepada RM109 juta, sekali gus mengungguli pertumbuhan industri pengiklanan yang berkembang pada kadar sembilan peratus.

“Namun begitu, fasa PKP yang berlarutan ini merencatkan perkembangan pendapatan Adex kerana kebanyakan pelanggan atau pengiklan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan,” katanya.

Selain itu, katanya, pembaharuan semula radio kini dalam perancangan untuk memberi nafas baharu dan mendigitalkannya dengan memberi fokus kepada audio secara keseluruhan.

Jelasnya, ini termasuk podcast dan menyajikan kandungan yang diwujudkan khas untuk generasi digital dan mereka yang lebih terarah kepada dunia penstriman.

“Selain itu, jumlah pendaftaran pelanggan di Go Shop meningkat sebanyak 23 peratus dari tahun ke tahun kepada 2.9 juta dan pendapatan suku tahun pertama (Q1) bertambah sebanyak 21 peratus kepada RM115 juta.

“Astro juga telah memberi impak sosial yang tinggi apabila berada pada kedudukan kesepuluh teratas dalam kategori syarikat media dari seluruh dunia yang dinilai oleh FTSE Russell untuk penilaian keseluruhan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) pada tahun 2020,” katanya.

Tambah beliau, syarikat penyedia kandungan dan hiburan itu berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dalam pelaksanaan ESG melibatkan tanggungjawab penjagaan alam sekitar, menampilkan impak sosial yang positif dan memastikan sistem tadbir urus baik menerusi inisiatif dilakukan.

Katanya, inisiatif itu adalah pelaburan berterusan melibatkan pembangunan pendidikan menerusi Tutor TV, TVIQ dan TV Pendidikan kepada lima juta pelajar di seluruh negara.

Selain itu, katanya, mewujudkan lebih dari 16,000 jam Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) pada setiap tahun untuk mencegah penyebaran berita-berita palsu merentasi TV, radio dan platform digitalnya.

“Astro juga menawarkan akses komplimentari kepada saluran-saluran terpilih sepanjang PKP selain menyediakan decoder NJOI dan set-set TV di pusat kuarantin dan pusat jagaan berisiko rendah Covid-19 di seluruh negara bagi memastikan pesakit dapat berhibur dan mendapat akses kepada informasi terkini.

“Komputer riba juga disediakan kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai dan SK Malinsau di Sabah serta SK Sungai Paku di Sarawak bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam memiliki akses kepada sajian kandungan yang disediakadalam talian,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!