Bolsonaro 'serang' wartawan

Bolsonaro berang apabila ditegur kerana tidak memakai pelitup muka. - Foto AFP
Bolsonaro berang apabila ditegur kerana tidak memakai pelitup muka. - Foto AFP
A
A
A

BRASILIA - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau dengan angkuh memperlekehkan wartawan dan menggelar Grupo Globo yang merupakan konglomerat media terbesar di negara itu sebagai ‘sampah’.

Insiden itu berlaku selepas seorang wartawan mempersoalkan keengganannya memakai pelitup muka.

Wartawan daripada TV Vanguarda, sebuah stesen daripada rangkaian Globo hanya mengingatkan pemimpin haluan kanan itu selepas beliau seakan-akan tidak serik walaupun telah dikenakan kompaun di beberapa negeri kerana enggan memakai pelitup muka.

“Tutup mulut kamu! Anda mengamalkan nilai kewartawanan yang teruk dan musnahkan agama dan keluarga di negara ini!” herdik Bolsonaro terhadap petugas media selepas sebuah majlis tentera di Guaratingueta di Sao Paulo pada Isnin.

Ketika beliau ditegur tentang pelitup muka, Bolsonaro turut ‘melenting’ dan membuka pelitup muka yang dipakainya dan berkata dengan sinis, ‘Sekarang anda boleh masukkan dalam Jornal Nacional (siaran berita malam popular Globo).

Saya tidak pakai pelitup muka di Guaratingueta.

Adakah anda gembira?’

Sejak mengambil alih kuasa pada Januari 2019, Bolsonaro telah beberapa kali ‘menyerang’ pengamal media.

Artikel Berkaitan:

“Jika anda menonton Globo, anda akan dapat maklumat yang salah. Globo patut berasa malu kerana menjadi media yang mengarut,” katanya menerusi ‘serangan’ terbaharu ke atas media itu.

Grupo Globo melalui kenyataan balas memaklumkan sikap tidak bertoleransi dan herdikan beliau tidak akan dapat menghalang petugas media di Brazil daripada terus membuat liputan berita.

Difahamkan, beliau turut menyelar CNN Brazil kerana menyokong demonstrasi yang dihadiri puluhan ribu penentangnya yang mengkritik dasar pentadbirannya terhadap pandemik Covid-19 pada akhir minggu lalu.

Sehingga kini, Bolsonaro yang pernah didiagnos positif Covid-19 pada Julai lalu terus memandang rendah ancaman wabak itu dan menolak langkah penjarakan fizikal selain mempersoalkan keberkesanan vaksin dan pemakaian pelitup muka.

“Selagi saya menjadi presiden, kita akan terus ‘berperang’ dan rakyat yang memiliki senjata tidak diwajibkan memakai pelitup muka,” katanya menerusi program mingguan yang disiarkan secara langsung pada minggu lalu. - AFP