X

Kindly register in order to view this article
!

DAP terkejut kenyataan KJ vaksin bukan penyelesaian Covid-19

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - DAP terkejut dengan kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa vaksin bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan itu amat mengejutkan kerana program vaksinasi sedang dijalankan di seluruh dunia pada ketika ini.

"Malah banyak negara telah dibuka semula kerana kejayaan program imunisasi mereka sehingga kita dapat melihat stadium bola sepak dipenuhi penonton yang menyaksikan kejuaraan bola sepak UEFA Euro 2020.

"Sebaliknya Malaysia berada dalam 'total lockdown'.

Jelas, vaksinasi masih merupakan jalan keluar daripada pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 16 Jun lalu, Khairy Jamaluddin dalam satu webinar yang dianjurkan oleh Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia memberitahu bahawa vaksinasi bukanlah satu penyelesaian dan Malaysia perlu berhati-hati dalam menggunakan istilah imuniti kelompok kerana Covid-19 akan terus wujud.

Beliau dilaporkan turut menasihatkan pemimpin lain supaya berhenti menggunakan istilah imuniti kelompok kerana berdasarkan data dan sains kemungkinan Covid-19 menjadi satu pandemik yang berpanjangan.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Khairy Jamaluddin tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan menyatakan bahawa beliau sekarang mengelak istilah imuniti kelompok.

Jelasnya, perkara itu adalah kerana dasar utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini ialah dengan mewujudkan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang melibatkan perbelanjaan dana awam sebanyak RM5 bilion.

"Khairy Jamaluddin mengatakan beliau sekarang memilih untuk menggunakan istilah imunisasi dan menyedari bahawa vaksin bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik," katanya.

Justeru, Guan Eng meminta supaya Khairy Jamaluddin memberikan penjelasan kerana dasar kerajaan mengenai imuniti kelompok telah menimbulkan kekeliruan.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menggunakan istilah ini beberapa hari yang lalu.

"Jadi adakah kerajaan PN telah berubah-ubah fikiran lagi sama ada mereka telah mengabaikan matlamat imuniti kelompok?," soalnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!