Untung bersih suku pertama Astro meningkat RM141 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd melonjak hampir sekali ganda kepada RM141.25 juta pada suku pertama berakhir 30 April, 2021 daripada RM73.84 juta semasa suku yang sama tahun kewangan 2021.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, pengendali televisyen berbayar itu menjelaskan, keuntungan bersih lebih baik itu didorong terutama oleh peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) selain kos pembiayaan bersih lebih rendah.

Perolehan pula menokok satu peratus kepada RM1.06 bilion daripada RM1.05 bilion bagi tempoh yang sama, dipacu terutama oleh perolehan pengiklanan, jualan barangan dan lain-lain yang lebih baik.

Astro turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 1.5 sen sesaham, boleh bayar pada 23 Julai 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan berkata, dalam melangkah maju, beliau menjangkakan tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2022 (tahun kewangan 2022) menjadi tempoh yang penuh dengan keterujaan.

“Kami terus melaksanakan strategi dan telah memperkenalkan dua perkhidmatan penstriman baharu bulan ini iaitu sooka yang mengetengahkan sukan secara langsung dan kandungan tempatan yang meraih anugerah untuk generasi millennial.

“Kami juga menawarkan Disney+ Hotstar yang menampilkan kandungan terbaik pada nilai hebat,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau berkata, asas jalur lebar Astro bertambah kira-kira 80 peratus tahun ke tahun, memandangkan lebih ramai pelanggan menggabungkan jalur lebar masing-masing dengan pakej kandungan mereka untuk menikmati keselesaan dan nilai.

Artikel Berkaitan:

Mengenai unjuran, Tan berkata pihaknya kekal berhati-hati memandangkan sekatan pergerakan berpanjangan mungkin menjejaskan perolehan syarikat, khususnya dari segi perolehan pengiklanan dan aktiviti perniagaan.

“Persekitaran operasi kekal mencabar dalam keadaan sekatan pergerakan di seluruh negara dengan Malaysia sedang melaksanakan program vaksinasi,” katanya. -Bernama