X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

624 Tok Batin setuju divaksin

Abdul Rahman (kiri) menyantuni salah seorang daripada 27 orang Tok Batin yang menerima suntikan vaksin
 - Foto Bernama
A
A

JEMPOL - Seramai 624 Tok Batin dari 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara bersetuju untuk menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu, hampir 50 peratus telah menerima vaksin sekali gus menjadi teladan kepada masyarakat itu untuk turut sama menerima suntikan.

“Idolanya ialah Tok Batin, maka hari ini jumlah Tok Batin (divaksin dan setuju divaksin) telah meningkat naik, jika Tok Batin terima (vaksin) maka anak buah mereka akan mengikut.

“Proses bermula dengan Tok Batin, ini sangat penting dalam kalangan Orang Asli, golongan ini boleh dijadikan idola supaya mereka boleh mempengaruhi penduduk lain menerima vaksin,” katanya kepada pemberita dalam program vaksinasi masyarakat Orang Asli di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah mereka yang bersetuju menerima vaksin juga turut meningkat susulan pelbagai inisiatif dilakukan kementerian dan agensi termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerusi program Outreach Vaksinasi Covid-19 iaitu seramai 28,143 individu.

Abdul Rahman berkata, daripada jumlah tersebut seramai 4,496 telah menerima satu dos vaksin manakala 1,511 individu lagi telah melengkapkan dua dos vaksin.

Menurutnya, jumlah itu bukanlah angka yang mudah untuk diperoleh berikutan kesukaran golongan itu mendapatkan akses untuk mendaftar selain kurang kefahaman tentang kepentingan vaksin Covid-19.

“Kebanyakan Orang Asli nak daftar MySejahtera kena ada yang bantu, jadi bila ada program yang masuk ke pedalaman ini memudahkan mereka. Kita rasa amat bangga kerana melalui program ini, ada peningkatan yang ketara dalam jumlah (mereka yang) setuju terima vaksin berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, RISDA terlibat secara langsung dalam program itu memandangkan hampir 80 peratus daripada keseluruhan Orang Asli merupakan pekebun kecil yang mengusahakan Projek Tanam Semula Berkelompok.

“Kita merupakan antara agensi yang rapat dengan mereka, jadi kita pujuk mereka, sebelum ini pun kita turun pujuk Orang Asli bersama Jabatan Kesihatan Daerah, mereka sebelum ini tak nak kerana percaya pelbagai dakyah tidak tepat,” katanya.

Sebelum itu, seramai 260 individu dari Kampung Orang Asli Panchor dan Kampung Batu Peti di sini menerima vaksin jenis Sinovac. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!