TNB bantu golongan memerlukan melalui Tabung WTP

330567
330567
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan penyerahan bantuan hasil kutipan Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara khususnya kepada golongan B40.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, jumlah yang berjaya dikumpul menerusi tabung tersebut sehingga kini berjumlah RM1.34 juta.

Jelas beliau, sebanyak RM270,000 telah disalurkan kepada penerima daripada pelbagai bangsa dan agama serta RM40,000 lagi telah diagihkan di Kuala Lumpur.

“Kami percaya ramai dalam kalangan masyarakat terjejas untuk meneruskan kelangsungan hidup berikutan pandemik Covid-19.

"Sebab itu bantuan diagihkan secepat mungkin bagi mencerminkan keprihatinan TNB sebagai sebuah syarikat yang sentiasa di sisi rakyat.

“Berpegang kepada prinsip ‘yang ada perlu membantu kepada yang tiada dan di sebalik setiap rezeki ada hak insan lain’, penyerahan pantas bantuan ini menzahirkan kesyukuran warga kerja TNB atas nikmat kurniaan tuhan secara berkongsi dengan mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Baharin, pihaknya yakin mereka yang terjejas dan kehilangan pendapatan telah memberi impak besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada ahli keluarga masing-masing.

"Diharapkan sumbangan serba sederhana dan ikhlas daripada warga kerja TNB dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, Tabung WTP yang dilancarkan pada 9 Jun menerusi sumbangan daripada warga kerja TNB melalui potongan gaji bagi bulan Jun dan Julai secara sukarela termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah TNB.

“Penerima manfaat dipilih berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan orang kelainan upaya, e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

“Setiap ringgit yang disumbangkan, TNB akan menambah nilai yang sama agar manfaat daripada tabung ini dapat dikongsi dengan lebih meluas. Agihan tabung WTP dilaksanakan melalui perbankan atas talian," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap keprihatinan terhadap permasalahan yang menimpa golongan kurang bernasib baik menyerap jauh ke sanubari warga TNB.

"Saya yakin jumlah kutipan ini akan terus meningkat sehingga kempen tamat nanti,” ujarnya.