Amaran kepada nelayan Langkawi

Pemantauan dan pemeriksaan Ops Cantas di Langkawi pada Selasa.
Pemantauan dan pemeriksaan Ops Cantas di Langkawi pada Selasa.
A
A
A

LANGKAWI - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi amaran terhadap segelintir nelayan di pulau ini yang dikesan menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau mendedahkan, perkara itu dikesan hasil daripada risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Berhati-hati... Kalau ditangkap, segala apa yang ada tidak mampu untuk membayar hukuman," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemantauan dan pemeriksaan Ops Cantas di sini pada Selasa.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud; Laksamana Maritim, Datuk Zubil Mat Som dan Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Hamzah ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan Ops Cantas di Langkawi pada Selasa.
Hamzah ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan Ops Cantas di Langkawi pada Selasa.

Hamzah turut menegaskan, pembabitan penduduk setempat menjadikan aktiviti pemerdagangan manusia berleluasa di pulau peranginan tersebut.

"Kita telah mengenal pasti tali barut dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat," kata beliau.

Menurutnya, KDN turut mengesan ada antara penduduk setempat yang turut terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah menggunakan bot-bot nelayan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kita ambil tindakan tegas terhadap mereka terbabit," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, seramai 28 PATI ditahan dalam Ops Cantas yang bermula awal pagi Selasa.

"Mereka terdiri daripada 23 lelaki dan lima wanita yang merupakan warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan juga Thailand," katanya.

Jelas beliau, tangkapan itu dibuat berikutan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kita ada juga mendekati etnik Rohingya yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Ini membolehkan kita mengetahui dengan jelas mengenai sindiket yang membawa mereka masuk," katanya.

Ditanya mengenai penempatan etnik Rohingya di Bukit Malut, beliau berkata, kementerian sedang berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai polisi sedia ada oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

"Kita perlu adakan polisi yang sebenarnya agar ia tidak ditukarkan," katanya.

Terdahulu, Hamzah dan Ronald mengedarkan risalah yang tertera nombor telefon agensi penguat kuasa kepada nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Penarak.

Risalah berkenaan ditampal pada bot nelayan bagi memudahkan golongan itu menghubungi agensi penguatkuasaan ketika berada dalam kecemasan di tengah laut.