'Notis panggil Parlimen 28 hari, bukan 14 hari'

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju sidang Parlimen disegerakan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun berkata, ia perlulah mengikut notis 28 hari dan bukannya 14 hari seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dalam masa sama turut membidas pihak yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berguna, sedangkan ia majoriti diwakili oleh UMNO.

“Kalau kerajaan ini tidak berguna, UMNO majoriti dalam kerajaan.

Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli UMNO ramai di dalamnya?

“Jadi saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan.

Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

UMNO melalui Ahmad Zahid sebelum ini mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Mengulas lanjut, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau berkata, majoriti ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk menyokong kerajaan sehingga pilihan raya.

“Parlimen dibubarkan ‘No’ Anwar ‘No’ DAP,” katanya.

Shahidan turut menyokong gesaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar Ahmad Zahid diambil tindakan tatatertib.

“Presiden parti telah melanggar peraturan dan dia kena diambil tindakan disiplin,” katanya.

Mohamed Nazri sebelum ini menggesa agar Biro Disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempertimbangkan keputusan menggantung jawatan Ahmad Zahid serta-merta susulan tindak-tanduk terkini pemimpin itu yang didakwa melanggar ketetapan parti.

Mohamed Nazri berkata, Ahmad Zahid perlu disiasat segera Biro Disiplin UMNO dan diambil tindakan tatatertib susulan terdapat tiga bukti jelas menunjukkan beliau melanggar ketetapan parti.