Tiga beradik ditahan halang tugas polis

Mohamad Farouk Eshak
Mohamad Farouk Eshak
A
A
A

AMPANG - Tiga beradik ditahan kerana didakwa menghalang tugas anggota polis ketika sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Jalan Merdeka di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 9 malam itu, pihaknya ternampak sebuah kereta Honda berwarna putih yang dipandu seorang lelaki telah melanggar lampu isyarat merah.

"Kita telah menahan kenderaan tersebut dan meminta pengenalan diri pemandu berkenaan.

"Dalam proses mengeluarkan saman, suspek bertindak menengking dan meninggikan suara serta mempersoalkan tindakan pihak polis," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, dua lelaki yang merupakan abang kandung kepada suspek kemudiannya telah datang ke lokasi kejadian.

"Salah seorang daripada mereka telah membuat kecoh dengan menjerit serta turut mempersoalkan tindakan polis memeriksa suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek juga turut mengambil rakaman gambar dan video semasa kejadian.

"Dalam keadaan semakin kecoh, pihak polis telah mengarahkan kesemua suspek untuk ke balai, tiba-tiba salah seorang anggota polis telah ditahan dan ditolak sehingga terjatuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, pihaknya terus membuat tangkapan terhadap tiga beradik itu yang berusia 28 hingga 42 tahun dan tiada kecederaan serius berlaku semasa kejadian.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan selama empat hari bermula Selasa sehingga Jumaat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 kanun keseksaan dan Seksyen 186 akta sama," katanya.