‘Perlu faham proses, bukan main buka saja Parlimen’

Mohd Ashraf
Mohd Ashraf
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pembukaan sidang Parlimen perlu difahami secara jelas mengikut undang-undang dengan mematuhi perlembagaan.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, antara perkara perlu dilakukan ialah pemberian notis 28 hari kepada ahli mesyuarat sebelum bersidang mengikut perundangan.

Beliau berkata, penghantaran soalan dan penyediaan jawapan setiap ahli Dewan dalam memacu hala perbincangan juga perlu diatur rapi keutamaannya atas titah diraja yang mahu Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan dengan jaya.

“Bukan main buka saja Parlimen. Ini bukan lawatan sekolah, apatah lagi mesyuarat JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung),” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Ashraf berkata, sidang Parlimen bukan hanya dihadiri ahli-ahlinya, malah melibatkan pegawai menteri kabinet, pegawai ahli Parlimen, petugas media serta petugas Parlimen yang lain.

“Sejumlah besar petugas kesihatan juga diperlukan untuk memantau perjalanan Parlimen.

“Perlu diingatkan, selain barisan hadapan, bukan semua petugas Parlimen, pegawai menteri, menteri malah pegawai ahli Parlimen telah disuntik vaksin kerana fokus kita selama ini kepada barisan hadapan dan warga emas,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi meninjau hal pembukaan Parlimen secara komited dan dibantu kerajaan di bawah teraju Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut penting dalam menentukan bentuk persidangan sama ada bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu atau secara hibrid yang bertepatan dengan lunas perlembagaan.

“Ia penting kerana melibatkan wakil pembangkang dan kerajaan serta profesional bukannya tindakan satu hala pihak kerajaan. Ini adalah tanda tekad 'good governance'.

“Penelitian perlu dilakukan dengan meletakkan fokus utama kepada rakyat melalui pelaksanaan ‘rapid’ Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Mohd Ashraf Mustaqim turut mengecam mainan sentimen politik pemimpin utama parti pembangkang ketika kerajaan bertungkus-lumus menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Ujarnya, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai Jawatankuasa Pembukaan Parlimen menggambarkan seolah-olah Muhyiddin menolak titah diraja untuk mengadakan sidang Parlimen.

“Pada pembentangan Pelan Pemulihan Negara, Muhyiddin sendiri memperjelaskan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bermula sekitar September atau Oktober,” katanya.