X

Kindly register in order to view this article
!

Pelantikan politik bawa imej buruk kepada IPTA

A
A

SHAH ALAM - Pengagihan jawatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) kepada wakil-wakil politik Perikatan Nasional (PN) tanpa berdasarkan merit boleh memburukkan imej dan kewibawaan institusi berkenaan.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam satu kenyataan berkata, situasi tersebut memberi maksud Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bersikap progresif dan inovatif dalam pembangunan solusi di peringkat pendidikan tinggi.

Menurut mereka, keadaan itu akan menyebabkan pengurusan IPTA menjadi serba carcamarba.

“JKPPH berasa hairan mengapa pelantikan Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) IPT daripada kalangan tokoh akademik, korporat, profesional dan yang berjaya di persada antarabangsa seperti di zaman PH tidak diteruskan.

“Malah, ramai tokoh-tokoh akademik dan korporat tidak berparti dan apolitikal yang dilantik di zaman PH telah digantikan dengan wakil-wakil daripada ahli politik PN, terutamanya daripada UMNO yang terlalu jauh rendah kelayakan dan telah dibuang oleh menteri,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan, selain beberapa ahli Parlimen iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Pada Sabtu, media melaporkan lebih dari 13 lantikan politik di IPT dan KPT daripada kalangan ahli politik PN dan kebanyakan jawatan LPU diisi oleh wakil-wakil UMNO tanpa kelayakan yang sepatutnya.

Mengulas lanjut, JKPPH berkata, KPT perlu merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli LPU mengikut kebolehan dan ‘skill sets' yang telah ditetapkan supaya mereka boleh memacu IPTA lebih berdaya maju.

“Pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata boleh menganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN.

“JKPPH mendesak agar KPT menyemak semula pelantikan wakil-wakil parti politik UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di IPTA dan agensi serta bahagian KPT. Ini demi menjaga kredibiliti dan nama baik pendidikan negara,” ujar mereka.

Jelas mereka, KPT perlu menguruskan isu pendidikan tinggi dengan serius seperti di negara-negara maju dan bukannya bermain politik serta mengagihkan habuan sesama ahli politik.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!