Wujudkan akta halang pelepasan ikan larangan ke sungai

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kanan) melawat gerai jualan ikan merah batu semasa melawat gerai jualan sempena Program Kecemerlangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Laman Perikanan, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kanan) melawat gerai jualan ikan merah batu semasa melawat gerai jualan sempena Program Kecemerlangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Laman Perikanan, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia meminda atau mencadangkan akta baharu bagi menghalang kegiatan melepaskan ikan daripada spesies larangan ke sungai, tasik dan lombong di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sehingga itu beliau perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat atau gambaran jelas mengenai perkara tersebut daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) selaku agensi bertanggungjawab.

“Saya akan adakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Perikanan bagi melihat sejauh mana seriusnya situasi tersebut.

“Jika perlu, saya fikir kita perlu merangka satu akta baharu atau meminda mana-mana akta sedia ada untuk menangani hal ini di masa depan,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung kewujudan spesies ikan larangan atau spesies alien di kawasan perairan di pantai timur.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan bersama ejen-ejen pengembangan perikanan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Datuk Dr Bah Piyan Tan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Salahuddin juga menyambut baik saranan Jabatan Perikanan yang mahu pindaan dibuat terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai di peringkat negeri agar aktiviti pelepasan spesies ikan eksotik boleh dikawal dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Untuk rekod, antara ikan yang dilarang dilepaskan ke perairan umum ialah keli Afrika, piranha, flower horn, bawal merah, ikan naga dan ikan buaya.

Dalam pada itu, Bah Piyan menyambut baik cadangan Salahuddin untuk memperkenalkan atau meminda akta dalam usaha memperkukuh tindakan jabatan itu menangani isu atau kes melepaskan ikan larangan ke sungai dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata selain Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai yang bidang kuasa terletak di bawah kerajaan negeri, tiada satu akta khusus yang melarang spesies ikan larangan dilepaskan ke sungai, tasik dan lombong di negara ini.

Ketika ini, DOF sedang melakukan proses iventori bagi mengenal pasti spesies ikan larangan di semua sungai, satu langkah yang memudahkan tindakan lanjut dibuat jika akta yang dicadangkan dapat diwujudkan, katanya.