Wanita lumpuh mahu suntikan vaksin Covid-19

Sa’adia Arsad, 35, yang datang berkerusi roda untuk mendengar taklimat dalam Program Outreach Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sandakan di Kampung Segaliud
Sa’adia Arsad, 35, yang datang berkerusi roda untuk mendengar taklimat dalam Program Outreach Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sandakan di Kampung Segaliud
A
A
A

SANDAKAN - Nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) agar golongan berisiko seperti penghidap penyakit kronik paling perlu untuk menerima vaksin Covid-19 telah meyakinkan seorang wanita lumpuh yang sedang berusaha untuk pulih, segera mendapatkan vaksinasi.

Sa’adia Arsad, 35, yang datang berkerusi roda untuk mendengar taklimat dalam Program Outreach Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sandakan di Kampung Segaliud, kira-kira 65km dari sini, rasa keyakinannya meningkat tambahan pula vaksinasi itu tidak menghalang proses pemulihannya.

“Saya masih perlu menjalani rawatan fisioterapi di hospital kerana doktor memberitahu jika saya rajin menjalani rawatan itu saya boleh berjalan semula, apabila terima vaksin nanti usaha saya ini dapat dilakukan tanpa dihalang Covid-19.

“Saya akui dalam pandemik Covid-19 sekarang merisaukan saya untuk keluar rumah dan membataskan harapan saya untuk cepat sembuh. Jadi inilah peluang (vaksin) yang saya tidak boleh tolak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ibu kepada tiga anak itu menceritakan keadaannya berlaku ketika hendak mengambil kain dari ampaian di apartmen sewaannya semasa tinggal di Kuala Lumpur pada Julai 2018.

“Imbangan badan saya tidak stabil semasa mengambil kain di balkoni rumah dan saya terjatuh dari tingkat lima, saya lumpuh dari paras pinggang ke bawah,” katanya.

Mengenai program CITF itu, Sa’adia, yang pulang ke kampungnya setahun selepas kejadian berkata ramai penduduk kampung termasuk suaminya memberitahu dia antara yang layak untuk menerima vaksin.

Mengakui takut akan komplikasi yang dialami selepas menerima vaksin kerana keadaan lumpuhnya, namun cuba menguatkan semangat untuk hadir mendengar taklimat disampaikan oleh Pegawai Promosi Kesihatan Sandakan Joumil Ekim pada program itu.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan penjelasan diberikan dan saya tidak fikir dua kali untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin,” katanya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sekong Hazulizah Md Dani berkata respons penduduk Kampung Segaliud terhadap program itu amat memberangsangkan sehingga pada akhir taklimat, hampir 80 peratus penduduk kampung membuat pendaftaran serta merta.

“Rata-rata meragui isi kandungan vaksin sama ada halal atau tidak dan kerisauan penghidap penyakit kronik jika menerima vaksin Covid-19. Setelah diterangkan kesemuanya, tidak sangka penerimaan penduduk di sini luar biasa, malah ada ketua-ketua keluarga meminta borang pendaftaran lebih untuk dibawa ke rumah supaya dapat mendaftarkan ahli keluarga lain yang tidak hadir pada program CITF ini,” katanya.

Ketua Kampung Segaliud Matassan Mutahir adalah individu yang memainkan peranan aktif dalam memastikan penduduk kampungnya terlindung daripada jangkitan Covid-19.

Matassan berkata, melalui program CITF itu, kira-kira 500 daripada keseluruhan hampir 700 penduduk telah mendaftar untuk menerima vaksin.

Katanya, beliau sendiri meminta Majlis Perbandaran Sandakan agar satu program penerangan mengenai keselamatan vaksin dapat diadakan di kampung itu agar penduduk kampung mendengar kebaikan vaksin daripada KKM sendiri daripada terpengaruh dengan berita tidak sahih.

“Saya juga meminta KKM menjalankan pemberian vaksin di kampung ini kerana kebanyakan penduduk tidak mempunyai kemampuan untuk ke hospital atau pusat pemberian vaksin, terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan jumlah penumpang dalam kenderaan,” katanya.

Susulan sambutan memberangsangkan itu, beliau berkata,pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan akan memulakan rancangan untuk mengadakan usaha pemberian vaksin di kampung itu dalam masa terdekat. -Bernama