Ops Jangkar Haram: Kapal tangki Panama pula ditahan

Kapal tangki dari Panama yang ditahan pada kedudukan 10 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar, Johor pada Ahad lalu.
Kapal tangki dari Panama yang ditahan pada kedudukan 10 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar, Johor pada Ahad lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor telah menahan sebuah kapal tangki dari Panama kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 10 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar, di sini pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu dikendalikan 24 kru warga Georgia dan ditahan kira-kira jam 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita dapati kesemua kru berusia antara 25 hingga 50 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, seorang kru telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 491(B)(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu Nurul Hizam berkata, Maritim Johor telah berjaya menahan 47 buah kapal menerusi Ops Jangkar Haram sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu.

Jelasnya, operasi itu telah menunjukkan kesan yang positif terhadap perairan di Johor Timur terutama di sekitar kawasan Tompok Utara.

“Sebelum pelaksanaan operasi ini, dilaporkan sebanyak 105 buah kapal telah bersauh secara haram di sekitar perairan Johor Timur dan jumlah ini berkurangan dengan mendadak setelah 47 buah kapal telah ditahan dan sebahagian besar telah diusir meninggalkan perairan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua 47 buah kapal ini telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491 B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Sepanjang tahun lalu, Maritim Johor telah menahan sebanyak 36 buah kapal di bawah kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan bagi tahun 2021 sehingga hari ini (Selasa), sebanyak 65 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Johor akan terus melaksanakan Ops Jangkar Haram bagi terus mengekang pencerobohan dan kemasukan kapal yang bersauh secara haram di perairan Johor.

"Justeru, pemilik kapal dan syarikat dinasihatkan agar lebih peka dengan prosedur dan peraturan sebelum memasuki serta bersauh di perairan Malaysia bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

"Sekiranya ditahan, proses siasatan dan pendakwaan akan menyebabkan kapal ditahan dan tidak boleh beroperasi selagi bon jaminan tidak dibayar," katanya.