Pas nafi Nik Abduh akan tinggalkan PN

Dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Nik Abduh akan meninggalkan PN.
Dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Nik Abduh akan meninggalkan PN.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menafikan dakwaan yang tular di media sosial sejak Isnin yang mengaitkan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah jahat bertujuan untuk memecah belahkan Pas dan PN.

"Saya jawab mudah saja, sebab apa tidak sebut 19 MP (ahli Parlimen) Pas keluar, tidak sokong PN, baru 'rare'.

"Tujuan fitnah ini adalah untuk memecah belahkan Pas dan PN serta menimbulkan keresahan rakyat bahawa kerajaan PN akan jatuh," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Menurut Idris Ahmad, fitnah tersebut disebarkan untuk mengalih isu masalah dalaman musuh PN dengan modus operandi yang menyasarkan fitnah terhadap semua pimpinan Pas.

"Mereka mahu pemimpin leka dan sibuk menjawab soalan fitnah hingga lupa untuk menerangkan mengenai perjalanan parti.

"Mereka juga hanya nak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti supaya kejayaan untuk beri vaksin pada rakyat ditenggelamkan," jelas beliau.

Sementara itu, Nik Abduh dalam satu hantaran di Facebook beliau mengingatkan supaya tidak bermain dengan fitnah.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah bermain-main dengan fitnah. Anda sedang mempermainkan peringatan besar Nabi kepada umatnya di akhir zaman.

"Ia merosakan hati dan memalingkannya daripada menerima dan mencintai kebenaran," katanya.