X

Kindly register in order to view this article
!

Bayaran RM100 sehari kepada sukarelawan petugas kesihatan

Muhyiddin Yassin
A
A

TANGKAK - [DIKEMASKINI] Elaun Sukarelawan Kesihatan yang terlibat kerja-kerja vaksinasi dan pengurusan Covid-19 di seluruh negara akan dinaikkan kepada RM100 sehari bermula Jun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenaikan elaun tersebut akan diberikan kepada 19,000 sukarelawan dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.

"Kerajaan bersetuju menaikkan saguhati kepada Sukarelawan Kesihatan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari. Ia membabitkan sukarelawan bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

"Selain itu, bayaran saguhati turut diperluaskan kepada Sukarelawan Kesihatan yang bertugas di lapangan selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC)," katanya dalam sidang media selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, di sini pada Selasa.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Muhyiddin mendengar taklimat ketika melawat PPV Bukit Gambir pada Selasa.
Muhyiddin mendengar taklimat ketika melawat PPV Bukit Gambir pada Selasa.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh, di sini dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin daripada golongan orang asli.

Muhyiddin berkata, sebelum ini beliau mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan dengan bilangan penerima diperluas secepat mungkin.

"Jumlah keseluruhan peruntukan untuk saguhati Sukarelawan Kesihatan adalah sebanyak RM327 juta iaitu jumlah bayaran saguhati sebelum ini, membabitkan RM147 juta serta elaun baharu membabitkan RM180 juta.

"Kenaikan kadar saguhati kepada Sukarelawan Kesihatan ini adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat," katanya.

Menurut beliau, kenaikan kadar elaun ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!