Tujuh negara sahut cabaran

Ragbi Bawah-18 (B-18) Lelaki Asia 2018
Ragbi Bawah-18 (B-18) Lelaki Asia 2018
A
A
A
TUJUH negara bakal berentap untuk merebut Kejuaraan Ragbi Bawah-18 (B-18) Lelaki Asia 2018 yang akan berlangsung di Stadium EduCity, Iskandar Puteri, pada 8 dan 9 Disember ini.

Juara bertahan Hong Kong yang mengesahkan untuk mempertahankan gelaran dimenangi mereka tahun lepas, akan bersaing dengan pasukan tuan rumah Malaysia, China, Qatar, Korea Selatan, Laos dan Uzbekistan pada kejohanan kali ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Mohd Noorazam Osman berkata kejohanan tahun ini dijangka sengit dengan setiap pasukan berazam untuk meraih gelaran pasukan terbaik di rantau Asia.

"Hong Kong dijangka menjadi pesaing hebat kepada negara-negara lain,” katanya di sini hari ini, sambil menambah JRU bakal menggunakan kejohanan berkenaan sebagai pentas mencungkil bakat baharu sukan ragbi tanah air.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Lebih menarik pada edisi tahun ini, Stadium EduCity akan turut menjadi venue Kejohanan Johor 7’s @ Iskandar Puteri 2018 bagi kategori lelaki dan wanita yang berlangsung pada tarikh sama.

“Kategori wanita yang baru diperkenalkan tahun ini akan mempertandingkan piala pusingan ‘Iskandar Investment Berhad’, dan turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang,” katanya.

Dua belas kelab ragbi tanah air akan bersaing dalam kategori terbuka lelaki, termasuk Iskandar Raiders (Johor), Wildcats Rugby Club (Johor), Blue Tiger Rugby Club (Johor), X Moruc Rugby Club (Melaka), Terengganu Juniors (Terengganu).

KL Saracens (Kuala Lumpur), Royal Selangor Club (Selangor), UPM Angels (Selangor), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perak) dan The Blues (Polis Diraja Malaysia).
Artikel Berkaitan:


Sementara bagi kategori wanita bakal menyaksikan penyertaan kelab Black RFC dari Singapura yang akan bersaing dengan kelab tempatan, antaranya Cobra Ladies (Selangor), Johor Ladies (Johor), Johor Ladies Development (Johor), Sabah Warriors (Sabah), UTP Drillers Ladies (Perak), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perak) dan Navy ORCA (Perak).

Juara kategori lelaki B-18 7's akan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala naib juara akan menerima RM1,500. Pemenang kategori wanita pula akan meraih wang tunai RM2,000 sementara naib juara memperoleh RM1,000.

Kejohanan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan bersama Asia Rugby, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negeri Johor. Ketiga-tiga kejohanan itu turut mendapat tajaan daripada IIB, Sports Johor Sdn Bhd, Hotel Amansari Nusajaya, KPJ Healthcare (M) Bhd dan Rugger District. - Bernama